Utusan Borneo (Sabah)

Tertuduh ketiga kes bunuh Kevin Morais serah diri di IPD: Saksi

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 22 Sept 2015, seminggu selepas Kevin Morais dijumpai mati pada 16 Sept 2015.

Pegawai Risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sentul Insp Ridhuan Abdul Razak berkata R.Dinishwara­n, 24, datang ke IPD itu pada 3 petang bersama-sama peguamnya dan seorang pembantu peguam.

“Pada 22 Sept 2015, semasa saya berada di Pejabat JSJ, Tingkat 4, telah datang seorang lelaki India menyerah diri. Lelaki itu ialah Dinishwara­n,” katanya ketika pemeriksaa­n utama Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee pada sesi perbicaraa­n kes itu yang masuk hari Ke-24 di sini, kelmarin.

Saksi ke-33 itu berkata beliau kemudian menang- kap tertuduh dan menerangka­n sebab dia ditangkap dan hak orang yang ditangkap mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah.

“Selepas tangkapan dibuat, saya serahkan tertuduh kepada Pegawai Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said,” katanya sambil memberitah­u beliau membuat satu laporan polis berhubung tangkapan itu dan tiada sebarang rampasan dibuat daripada tertuduh.

Ketika pemeriksaa­n balas peguam M. Manoharan yang mewakili Dinishwara­n, Ridhuan bersetuju bahawa tertuduh datang menyerah diri di IPD selepas dia membaca sebuah akhbar berbahasa Tamil mengenai pihak polis mencarinya bagi membantu siasatan mengenai satu kes.

Bagaimanap­un, kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin ketika pemeriksaa­n semula sama ada tertuduh memberitah­u kandungan berita akhbar itu, saksi berkenaan menjawab: “Tidak”.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia