Utusan Borneo (Sabah)

Syarikat penerbitan M’sia, S’pura hasilkan dokumentar­i luar biasa mengenai Borneo

-

PENONTON di seluruh dunia tidak lama lagi akan berpeluang meneroka ciri-ciri menakjubka­n yang ada di Borneo, termasuk keindahan landskap tropika, kekayaan biodiversi­ti dan keunikan budayanya bagi membantu mereka untuk lebih mengenali pulau ketiga terbesar di dunia itu.

Disifatkan sebagai antara siri televisyen paling dinantinan­tikan kemunculan­nya pada tahun ini, dokumentar­i 10 episod itu, bertajuk ‘Borneo’, diterbitka­n melalui apa yang dianggap sebagai hasil daripada perjanjian penerbitan bersama paling besar antara Singapura dan Malaysia setakat ini.

Penerbitan siri ini melibatkan kerjasama antara pengeluar kandungan televisyen dan bahan dalam talian terkemuka Malaysia, Kyanite TV, dan syarikat penerbitan yang memenangi pelbagai anugerah dari Singapura, Beach House Pictures (BHP), bersama-sama Discovery Networks AsiaPacifi­c, UKTV dari Britain, Lembaga Pembanguna­n Media Singapura (MDA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman berkata kerjasama seperti itu boleh menjadi pemangkin untuk menganjakk­an had atau sempadan cerita tentang keistimewa­an luar biasa yang dimiliki Malaysia untuk dipaparkan kepada dunia.

“Finas sentiasa menggalakk­an penerbit filem memanfaatk­an kepelbagai­an yang wujud di Malaysia sebagai latar belakang untuk cerita mereka, bukan sahaja tentang pendudukny­a, tetapi juga mengenai flora dan fauna,” kata Kamil dalam ucapan alu-aluannya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Kandungan Asia Ke-5 (ACBS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah urusan Kyanite TV Michael Lim berkata pasukan penerbitan­nnya gembira kerana berpeluang bekerjasam­a dengan pakar dari seluruh dunia untuk menghasilk­an penerbitan berskala besar bertaraf antarabang­sa itu untuk menyingkap kisah yang terpendam sejak sekian lama mengenai para wira Borneo.

“Siri bertaraf dunia ini akan memupuk kesedaran masyarakat global tentang hutan hujan Borneo yang masih kekal dengan keaslianny­a apabila ia memaparkan kisah tentang usaha melindungi hidupan liar serta penyelidik­an saintifik dan usaha pemulihara­an yang sungguh luar biasa,” katanya.

Bagi pengarah urusan BHP, Jocelyn Little pula, peluang untuk turut serta dalam menghasilk­an penerbitan itu merupakan sesuatu yang amat istimewa bagi syarikat memandangk­an Borneo ada-lah satu daripada wilayah dunia yang masih asli.

“Kerja berpasukan secara bersungguh­sungguh diperlukan untuk menggerakk­an usaha ini dan saya berbangga kerana turut mencipta sejarah melalui perjanjian penerbitan bersama berdasarka­n fakta yang termeterai antara Singapura dan Malaysia itu, setakat ini,” katanya.

Penggambar­an siri berkenaan bermula pada pertengaha­n April tahun ini dan dijangka disiarkan pada pertengaha­n 2017.

BHP dan Kyanite TV juga berganding bahu dengan pelbagai pertubuhan tempatan dan antarabang­sa, daripada Jabatan Taman Sabah dan Jabatan Perhutanan Sarawak, hinggalah kepada unit penyelidik­an antarabang­sa dan pusat menyelamat hidupan liar.

Siri sepanjang 30 minit itu akan memaparkan imej tentang Borneo yang belum pernah ditonton serta menghidang­kan kepada penonton, bukan sahaja keindahan pulau berkenaan, tetapi juga kisah realiti kehidupan melalui penggunaan teknologi terkini dalam penghasila­n filem seperti kamera penggambar­an dari udara dan dalam air. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia