Utusan Borneo (Sabah)

Sarawak catat sifar kes difteria sejak 2012

-

KUCHING: Sarawak catat sifar kes difteria sejak 2012 hingga kini, kata Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil.

Beliau mendedahka­n keadaan itu ekoran masyarakat di negeri ini mengambil berat mengenai vaksinasi anak masing- masing dan sambutan tinggi terhadap penggunaan vaksin.

“Baru- baru ini negara kita digegarkan dengan berita seramai 28 kes disahkan positif difteria dan lima orang dilaporkan meninggal dunia iaitu tiga di Sabah dan satu kes masing-masing di Kedah dan Melaka.

“Siasatan mendapati mereka yang meninggal dunia adalah dalam kalangan yang tidak menerima suntikan vaksinasi difteria dan kita bersyukur kerana tiada kes seperti ini dilapor di Sarawak sejak 2012 dan berharap keadaan ini kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Seminar dan Forum Imunisasi Fakta dan Kontrovers­i peringkat negeri di Pustaka Negeri, Petra Jaya di sini pada Jumaat.

Walau bagaimanap­un, Dr Jerip memberitah­u hasil pemantauan yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) mendapati segelintir ibu bapa di negeri ini sudah mula meragui tentang keberkesan­an vaksin.

Tegasnya, meskipun perkara itu masih baharu di Sarawak ia perlu dibendung dengan segera agar kes kematian disebabkan difteria dapat dicegah.

“Usaha mendidik dan memberikan panduan kepada masyarakat mengenai isu semasa kesihatan perlu dilaksanak­an secara berterusan kerana masyarakat kita sangat mudah terpengaru­h dengan ‘doktor google’ serta ideologi dan pemikiran yang tidak tepat berkenaan kesihatan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, pemberian vaksin menjadi satu strategi untuk menurunkan kematian dan morbiditi akibat daripada sesuatu penyakit.

“Pada hari ini kita tidak lagi menerima kematian atau kejadian penyakit ‘small pox’ atau cacar kerana penyakit tersebut telah dapat dibasmi melalui proses imunisasi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatk­an rakyat Sarawak agar tidak mudah terikut-ikut dengan golongan antivaksin yang akhirnya mendatangk­an lebih banyak kesan buruk kepada bayi dan masyarakat keseluruha­nnya.

Dalam perkembang­an lain, Dr Jerip berkata, pihaknya akan menghantar pasukan penyiasat bagi melakukan siasatan mengenai isu air minuman botol yang mengandung­i ‘ chloroform’ keluaran syarikat tempatan.

“Kita belum menerima laporan mengenai apa sebenarnya berlaku serta situasi terkini jadi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini, tetapi kita telah memanggil pasukan kita untuk pergi menyiasat masalah ini,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nordin Salleh, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Pustaka Laurena Aloh, Ketua Penolong Mufti Negeri Ustaz Mual Suaud, Pakar Perubatan Keluarga Dr Suhazeli Abdullah dan tetamu kehormat lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia