Utusan Borneo (Sabah)

Mayat mangsa tragedi bot terbalik ditemui

-

KUCHING: Harapan keluarga agar Razali Pit yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Po Khamis lalu ditemui selamat berkecai selepas mayat yang ditemui di Pulau Lakei pada Sabtu disahkan sebagai mangsa.

Rakiah Pit, 40-an, iaitu kakak kepada nelayan berusia 36 tahun itu berkata, mereka menaruh harapan tinggi agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas rakan mangsa yang turut sama dalam insiden itu berjaya menyelamat­kan diri dengan berenang ke tebing.

“Kami sangat mengharapk­an dia (Razali) ditemui dalam keadaan selamat, seperti mana rakannya yang berjaya menyelamat­kan diri dengan berenang ke tebing.

“Sungguhpun begitu, kami reda dengan ketentuan ini,” katanya kepada pemberita, selain turut berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ( SAR) mangsa.

Menurut Rakiah, mangsa sebelum insiden sering dinasihat agar tidak turun ke laut ketika cuaca buruk.

“Dia ( Razali) memang seorang yang sangat rajin, malah sebelum ini kami sudah puas menasihati­nya agar tidak turun ke laut ketika cuaca tidak bagus, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat, tetapi dia tetap berkeras untuk mencari rezeki.

“Sebelum ini, dia juga pernah berpesan kepada kami agar menjaga anakanakny­a dengan baik jika berlaku perkara yang tidak diingini kepadanya,” kata Rakiah.

Difahamkan, Razali yang berasal dari Kampung Muara Tebas sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

Operasi SAR yang disambung semula pada jam 7 pagi pada Sabtu dihentikan pada jam 11.50 pagi selepas mayat mangsa ditemui berdekatan Pulau Lakei iaitu kira-kira lima batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Pegawai Perhubunga­n Awam Agensi Penguatkua­saan Martitim Malaysia (APMM) Leftenan Muhammad Hainizam Mohd Jamil berkata, mayat mangsa ditemui oleh nelayan tempatan sekitar jam 10.15 pagi.

“Mayat mangsa dijumpai pada jam 10.15 pagi oleh nelayan tempatan di lokasi lebih kurang tiga batu nautika timur dari Pulau Lakei iaitu kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan mencari dan menyelamat untuk dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak( HUS) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumia­n.

Khamis lalu, Razali bersama rakannya Hamddie Jarawi, 47, menangkap ikan berdekatan Tanjung Po apabila bot yang dinaiki mereka tiba-tiba terbalik akibat dipukul ombak sekitar jam 11 malam.

Bagaimanap­un, Hamddie berjaya menyelamat­kan dirinya dengan berpaut pada batu sebelum berenang ke tebing iaitu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan berjaya mendapatka­n bantuan selepas empat jam meredah hutan menuju ke Kampung Selabat.

Operasi SAR dilancarka­n selepas laporan dibuat oleh Hamddie kepada APMM pada jam 6.30 pagi Jumaat, namun ditangguh pada jam 5 petang hari sama ekoran cuaca tidak mengizinka­n dan disambung semula pada jam 7 pagi pada Sabtu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia