Upko tetap bantah hudud
Melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan
PENAMPANG: Upko tetap teguh dengan bantahannya terhadap rang undang-undang persendirian oleh Ahli Parlimen Marang bertujuan meningkatkan kuasa hukuman Mahkamah Syariah.
Setiausaha Agung Upko Datuk Donald Peter Mojuntin berkata Biro Undang-Undang parti itu yang diketuainya telah membincangkan perkara itu dari sudut perlembagaan dan undang-undang.
“Kami telah membincangkan perkara itu dan telah menasihati Majlis Tertinggi Upko, yang sebulat suara dan secara kolektif memutuskan untuk menentang rang undang- undang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
“Pertama sekali, rang undang-undang akan melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini memberi jaminan kesamarataan di sisi undang-undang. Meluluskan rang undangundang ini akan bermakna bahawa akan ada hukuman yang tidak sama rata untuk orang Islam dan bukan Islam. Ringkasnya, meluluskan rang undang-undang tidak mengikut perlembagaan.
“Kedua, ia akan menjadi satu mimpi ngeri pentadbiran melaksanakan dan menguatkuasakan dua set undang- undang jenayah. Kerajaan mempunyai masa yang cukup sukar untuk mendapatkan pentadbir kita untuk menjadi lebih dipercayai, cekap dan profesional di negara ini. Oleh itu, adalah tidak praktikal dan akan menyebabkan pentadbiran kucar kacir.
“Ketiga, ia akan menyebabkan perpecahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia akan menimbulkan persoalan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau negara teokratik. Malah sekarang, terdapat bantahan terhadap rang undang-undang dalam masyarakat Islam di Malaysia, termasuk ahli akademik, golongan profesional dan ahli politik,” katanya.
Donald berakta Malaysia mengamalkan satu bentuk sekular demokrasi, bukan yang teokratik. Meluluskan rang undang-undang itu akan menjadi seperti membuka pintu untuk undang-undang Hudud yang akan akhirnya dilaksanakan sepenuhnya tidak di negeri-negeri tertentu tetapi di negara ini.
Katanya Malaysia telah dianggap dan dihormati sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni walaupun mempunyai penduduk yang berbilang kaum, budaya dan agama.
Seperti yang dikatakan pengerusi bersama Biro Agama dan Perpaduan Kaum Upko, Haji Suip Saniman, parti itu menghormati Islam tetapi akan menolak rang undang-undang Hadi, katanya.