Utusan Borneo (Sabah)

Ban pecah di Kapar dapat dielakkan sekiranya aduan diambil berat

-

KLANG:Kejadian ban pecah di Sungai Keramat, Batu 5, Jalan Kapar di sini, berikutan fenomena air pasang besar Ahad lalu dapat dielakkan sekiranya aduan penduduk diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Halim Bahar, 38, berkata beliau telah membuat beberapa aduan kepada ketua kampung serta di Pusat Khidmat Rakyat Sementa sejak fenomena sama berlaku bulan lepas, apabila mengesan beberapa lubang hakisan pada ban tersebut.

Bagaimanap­un katanya, tiada tindakan segera diambil sepanjang tempoh tersebut sehinggala­h kira- kira dua minggu sebelum berlaku gelombang kedua fenomena itu Ahad lalu.

“Memang pihak berwajib ada membuat pembaikan ban selepas ban di Kampung Tok Muda di sini pecah tapi sudah terlalu lewat dan tak sempat ban itu nak kukuh untuk tampung gelombang kedua ini.

“Saya buat aduan sebab rumah saya memang terlalu dekat dengan ban dan ketika itu lubang hakisan masih kecil. Sepatutnya lebih mudah ditambah baik di peringkat awal malah kos juga mungkin masih rendah berbanding sekarang yang pecah teruk,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Mohd Shahrizan Mohd Ali, 35, berkata pihak berwajib khususnya kerajaan negeri tidak sepatutnya sambil lewa dalam melayan aduan rakyat kerana perkara berkenaan melibatkan nyawa.

Beliau berkata kelewatan mengambil tindakan ditambah dengan kerja-kerja pembaikan yang dibuat ala kadar hanya mencermink­an nasib rakyat sebenarnya tidak diambil peduli.

“Malam tadi ada agensi datang nak tambah baik ban pecah tapi memang kita dah tahu, apa sangat yang mereka boleh buat sebab air sedang naik.

“Sepatutnya kerja-kerja ini dibuat lebih awal, jangan ambil mudah aduan kami sebab ban berlubang ini perkara penting yang mesti diselesaik­an, tambahan pula penduduk di sini ramai,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia