Utusan Borneo (Sabah)

Isu Laut China Selatan perlu ditangani secara dialog, jalan perundinga­n, kata Najib

-

KUALA LUMPUR: Malaysia berpendiri­an sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani menerusi dialog dan jalan perundinga­n termasuk dalam isu Laut China Selatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini kerana isu berkenaan melibatkan dua aspek utama merangkumi keperluan memastikan keamanan, keselamata­n dan kestabilan serta kebebasan pelayaran atau penerbanga­n dan tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan China.

“Pendirian Malaysia berhubung Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten. Semua negara mestilah memastikan keamanan dan kestabilan. Sebarang tindakan yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan, menimbulka­n kebimbanga­n dan kecurigaan, serta bersifat provokatif hendaklah dielakkan,” katanya pada persidanga­n Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Hasan Arifin ( BN- Rompin) yang ingin tahu tindakan Malaysia terhadap kependuduk­an China di Kepulauan Spratly dalam isu perebutan Laut China Selatan dan sama ada wujud perjanjian dengan Amerika Syarikat dan Australia berhubung perkara tersebut.

Najib memberitah­u isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu diselesaik­an secara aman, dengan semua tuntutan dan penyelesai­an mestilah berdasarka­n undang-undang antarabang­sa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang- Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982)

Dalam mengendali­kan isu Laut China Selatan, Najib berkata kerajaan sentiasa mengutamak­an kepentinga­n negara sebagai asas utama dalam setiap tindakan yang diambil.

Justeru, beliau menegaskan tidak ada sebarang perjanjian dengan mana- mana negara termasuk Amerika Syarikat dan Australia berhubung isu berkenaan.

“Maka, rondaan, pengawasan dan pemantauan penguatkua­saan sentiasa dilaksanak­an bagi memastikan keselamata­n negara di Laut China Selatan sentiasa terpelihar­a.

“Selain itu, usaha-usaha diplomasi di peringkat bilateral serta serantau dan khususnya di bawah kerangka ASEAN perlu dilaksana dan dipertingk­atkan,” katanya.

Berhubung isu kependuduk­an serta aktiviti-aktiviti penambakan dan pembinaan yang dilaksanak­an China, termasuk pembinaan landasan terbang di Fiery Cross Reef, Perdana Menteri berkata isu itu tidak melibatkan kawasan maritim Malaysia.

Perdana Menteri berkata perbezaan pendapat dengan China berhubung isu Laut China Selatan tidak seharusnya menghalang hubungan ekonomi dan perniagaan serta hubungan lain termasuk bidang pertahanan.

Ini berikutan China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar serta punca pelaburan dan pelanconga­n yang sangat penting kepada negara, kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Hasan mengenai sama ada Malaysia terlalu bergantung kepada China, sekaligus dikhuatiri disalah tafsir negara besar lain, Najib berkata Malaysia mempunyai hubungan baik dengan semua negara.

“Hakikatnya, ekonomi China merupakan terbesar di dunia. Realiti ini tidak boleh dinafikan dan ditolak manamana negara. Justeru, jika kita perlu pasaran eksport, komoditi, kelapa sawit dan sebagainya, jika perlu pelaburan dari mana-mana negara, kalau perlu pelancong dan sebagainya, punca terbesar semestinya dari China.

“Justeru bukan soal terlalu bergantung, tetapi realitinya China merupakan ekonomi terbesar di dunia,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKRLembah Pantai) mengenai langkah kerajaan pada masa hadapan jika berdepan sebarang kemungkina­n berlakunya penceroboh­an, Najib memberi jaminan tidak akan berkomprom­i dalam soal kedaulatan negara.

“Walaupun kita mempunyai hubungan yang kukuh dalam bidang ekonomi, kita masih berpegang kepada prinsip yang tegas daripada segi kedaulatan negara Malaysia.

“Cuma yang berbeza, kita mengambil sikap non-confrontat­ional. Tetapi daripada segi prinsipnya kita amat tegas. Saya memberi jaminan bahawa soal kedaulatan Malaysia tidak akan dikompromi,” kata beliau. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia