Utusan Borneo (Sabah)

PGA rampas rokok seludup bernilai lebih setengah juta ringgit

-

KUCHING: Pasukan Polis Gerak Am (PGA) merampas rokok seludup yang dianggar bernilai lebih setengah juta ringgit dalam dua serbuan di Jalan Kuching-Serian petang semalam, rampasan rokok terbesar pasukan itu tahun ini.

Komander PGA Briged Sarawak, SAC Khaw Kok Chin berkata berdasarka­n maklumat risik, satu pasukan PGA menyerbu sebuah rumah di Km 18.5 Kuching-Serian pada kirakira pukul 4 petang semalam dan merampas 10,850 karton rokok premium gold yang dianggar bernilai RM435,500 tidak termasuk cukai.

Katanya dalam operasi susulan, pasukan itu kemudianny­a menyerbu sebuah lagi rumah kira-kira 800 meter dari lokasi serbuan pertama sejam kemudian, dan merampas 7,150 karton lagi rokok pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM156,000.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan berhubung kes rokok seludup itu dibuat, namun menurutnya PGA menahan dua lelaki yang menawarkan rasuah RM15,000 kepada pasukan PGA yang terbabit dalam dua serbuan itu.

“Dua lelaki berumur 40 dan 62 tahun itu kemudianny­a diserahkan kepada anggota Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam serbuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di Batu Kawa di sini kelmarin.

Khaw berkata penyeludup biasanya tidak menyimpan rokok-rokok seludup di satu tempat untuk tempoh yang lama dan biasanya ia akan berpindah dari satu rumah ke rumah lain semasa diagihkan untuk pasaran tempatan.

Katanya pasukan risik masih menyiasat dalang di sebalik kegiatan penyeludup­an itu dan akan terus sentiasa menggiatka­n langkah dalam membantera­s kegiatan penyeludup­an.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia