Majlis khatam kitab Penawar Bagi Hati di Ruwaq Jawi

Utusan Borneo (Sabah) - - Editorial - NORKAIDAWATI ABDUL MAJID

MAJLIS pengkhataman kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al-Indonesia al-Mandili oleh Ustaz Mohd. Nazrul Abd. Nasir berlangsung dengan jayanya di Ruwaq Jawi. Majlis bermula kirakira jam 8:30 malam.

Pengajian ini bermula pada 22 Mei 2015 dan tamat pada 19 Oktober setelah melalui 38 kelas pengajian. Kesemua 37 kelas telah diadakan pada hari Jumaat, pukul 9:30 pagi di surau Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK). Manakala sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini pula, pengajian dimulakan pada pukul 9:00 pagi.

Bermula dengan cadangan daripada Datin Zakiah Alias, iaitu isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, YM TYT Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari, maka pengajian pun diadakan. Beliau sering mengikuti siri pengajian yang disampaikan oleh Ustaz Nazrul Nasir dalam Segmen Tarbiyyah IKIM pada tahun lalu.

Saya sekeluarga tiba di Mesir sekitar bulan Mei 2015. Hanya selepas pertemuan kali pertama dengan Datin Zakiah semasa majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh Ustaz Nazrul sekitar bulan Julai 2015, barulah kami mula menghadiri kelas pengajian.

Semasa pertemuan kali pertama itu, Datin Zakiah bukan sekadar memaklumkan tentang kewujudan kelas berkenaan semata-mata, malah mengajak kami agar turut serta menadah kitab. Sejak itu, bermulalah rutin mingguan kami ke Abbasiah.

Kebiasaannya, pada pagi Jumaat jalan raya lengang. Alhamdulillah, perjalanan lancar. Hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja untuk sampai ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah.

“Saya sudah mendapatkan arahan dan amanah daripada Tuan Guru Haji Abdullah bin Saamah, Pondok Bukit Lada Kedah yang merupakan murid langsung kepada Syeikh Abdul Qadir al-Mandailing untuk menghidupkan serta mensyarahkan kitab-kitab karangan guru beliau kepada para penuntut ilmu,” ujar Ustaz Nazrul selepas mengkhatamkan kitab. Pernyataan ini turut disebutkan dalam laman Facebook beliau.

Sebelum bersurai, kami dijamu dengan makan malam yang enak di Restoran D’Anjung Jawi.

Malam semakin larut. Hembusan dingin angin malam musim luruh semakin terasa. Sambil menaruh harapan semoga akan ada lagi kelas pengajian seterusnya yang boleh disertai, kami pun minta diri.

(Gambar bawah) SEBAHAGIAN ahli pengajian di majlis pengkhataman kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al-Indonesia al-Mandili oleh Ustaz Mohd. Nazrul Abd. Nasir di Ruwaq Jawi.

PENULIS (kanan) bersama rakan-rakan pengajian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.