Utusan Borneo (Sabah)

TUMPU PADA PRU14: PM

Bukan pemilihan Umno

-

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota parti memberikan fokus pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi dan bukannya pemilihan parti.

Perdana menteri berkata beliau dapat ‘ menghidu’ terdapat anggota parti yang lebih berminat kepada pemilihan Umno.

“Saya nampak ada (anggota) main tali halus. Saya dah lama dalam politik boleh baca, saya tahu dia sokong siapa. Nak main tali halus sikit tak apa tapi jangan hilang fokus dan hala tuju,” katanya dalam ucapan penggulung­an pada akhir Perhimpuna­n Agung Umno 2016 di sini, kelmarin.

Najib berkata dengan masalah dalaman Umno yang kini telah diselesaik­an, tumpuan anggota Umno sekarang seharusnya ke arah menghadapi PRU14 untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang bergaya.

“Kalau lihat pada roh perjuangan, kita semua mempunyai satu iltizam, sudah selesai masalah dalaman Umno. (Sekarang) nak hadap ke mana? Mana? PRU14, bukan pemilihan Umno,” katanya.

Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang bakal berakhir pada Jun 2018, manakala pemilihan Umno yang kali terakhir diadakan pada Oktober 2013 dan sepatutnya diadakan tahun ini ditunda selama 18 bulan.

Perdana menteri turut mengingatk­an supaya tidak leka dibuai kemenangan dalam pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Perak serta Parlimen Sungai Besar, Selangor, sebaliknya meneruskan kerja keras untuk memastikan kejayaan dalam PRU14.

“Kita mesti sedar kemenangan dalam satu, dua (pilihan raya kecil) tak semestinya kita akan menang waktu ujian besar nanti (PRU14). Ini kita mesti sedar,” tegasnya.

Najib turut memberi amaran kepada anggota parti agar tidak sesekali memandang rendah kepada kemampuan pihak lawan serta mempercaya­i sepenuhnya pungutan pendapat mengenai sesuatu pertanding­an.

Beliau memberikan contoh mengenai rancangan Britain yang ingin keluar dari Kesatuan Eropah dan keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang dimenangi calon Republikan Donald Trump sebagai antara contoh pungutan pendapat yang kurang tepat.

“Cuma kalau kita kerja sebagai satu pasukan, dalam satu ikatan macam lagu ‘Gurindam Jiwa’ - ‘rambut tersimpul mati’ - dari atas sampai bawah pasti Umno dan BN akan menang lagi dalam PRU,” katanya.

Najib dalam sidang media selepas ucapan penggulung­annya, enggan mengulas sama ada PRU14 akan diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Selain ‘feel good factor’, banyak faktor perlu diambil kira dan diambil penilaian, berdasarka­n keadaan dan sikap rakyat dan keberkesan­an usaha kerajaan dalam penyampaia­n mesej.

“Sebab itulah kita kena beri tempoh untuk jentera kita melakukan kerja-kerja yang sepatutnya. Tugas kita sekarang ini ialah untuk memenangi hati rakyat. Pastikan rakyat bersama dengan kita. Inilah yang saya nak setiap ahli Umno dan jentera kita lakukan,” katanya. -Bernama

 ?? GambarBern­ama ?? NAJIB bersama Ahmad Zahid dan pimpinan Umno yang lain memotong pulut kuning selepas ucapan penggulung­an Perhimpuna­n Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin.
GambarBern­ama NAJIB bersama Ahmad Zahid dan pimpinan Umno yang lain memotong pulut kuning selepas ucapan penggulung­an Perhimpuna­n Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia