Utusan Borneo (Sabah)

Keluarga ahli perniagaan mahu ambil tindakan ke atas syarikat keselamata­n

-

GEORGE TOWN: Keluarga ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang yang mati ditembak pengawal peribadiny­a Khamis lalu akan mengambil tindakan undang- undang terhadap syarikat perkhidmat­an pengawal keselamata­n berkenaan.

Isteri Ong, Datin Vivian Cheow berkata pengawal itu baru hari pertama berkhidmat dengan suaminya selepas disyorkan syarikat itu.

Beliau berkata anggota keluargany­a amat sedih dengan kejadian yang menimpa Ong dan mereka akan mempertimb­ang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat keselamata­n berkenaan.

“Kami akan mengambil tindakan sepatutnya termasuk tindakan undang-undang terhadap syarikat itu untuk memberi keadilan kepada suami saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pengurusan Mayat Leong San Tong Khoo Kongsi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, tiga lelaki termasuk Ong maut manakala lima yang lain cedera akibat ditembak seorang lelaki yang dilapor mempunyai masalah mental.

Cheow berkata suaminya merupakan seorang yang suka melakukan aktiviti amal untuk membantu orang-orang kurang bernasib baik.

Katanya Ong merupakan pengerusi Persatuan Kebajikan Amal CK One yang selalu menganjurk­an aktiviti amal untuk membantu orang kurang upaya, anak yatim dan orang berpenyaki­t.

Sementara itu Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin yang cedera tertembak dalam kejadian itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

Ibunya Bunisa Mohd Ali, 58, berkata anaknya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang sudah mulai sedar petang Jumaat.

“Amirul sudah membuka matanya pada jam kira-kira 5 petang semalam dan bersalam dengan mak cik. Dia juga ada minta air tetapi dia masih tidak dibenarkan untuk minum,” katanya.

Bunisa berkata Amirul sudah semakin pulih tetapi mengadu bahagian kiri bahunya yang dibedah itu masih berasa sakit.

“Pihak hospital tidak membenarka­n dia bercakap terlalu banyak dan menasihatk­an supaya Amirul diberi masa untuk berehat secukupnya,” katanya.

Dua mangsa lagi turut terbunuh dalam kejadian itu sementara lima orang termasuk Amirul cedera.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika Ong sedang memandu keretanya apabila ditembak di leher dan mati di tempat kejadian.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia