Utusan Borneo (Sabah)

Nyalakan sinar harapan, kumpulan pertama B40 raih ijazah di pentas konvokesye­n

Kumpulan pertama B40 raih ijazah di pentas konvokesye­n

-

MAJLIS Konvokesye­n Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-18 melakar sejarah tersendiri apabila kumpulan pertama pelajar di bawah Pelaksanaa­n Mekanisme Mod Kemasukan Baharu bagi isi rumah 40% terendah turut bersama-sama diraikan dalam upacara berprestij ini.

Seramai 67 pelajar daripada golongan kurang berkemampu­an berjaya menamatkan pengajian sekali gus memberi cahaya kegembiraa­n kepada keluarga masing-masing yang tersenyum dengan titisan air mata kesyukuran ketika meyaksikan kejayaan anak-anak di pentas konvokesye­n di Dewan Canselor.

Bagaikan kaca jatuh ke lantai, retak seribu berkecai-kecai, demikianla­h harapan mereka punah di sebalik impian menggunung ketika semakan permohonan memaparkan ‘dukacita’ di skrin komputer tiga tahun yang lalu.

Di saat kekecewaan yang ditanggung kian terasa jauh mengulit hati, UMS hadir memberi kejutan dengan memberi surat tawaran atas tiket tanggungja­wab sosial korporat (CSR) sekali gus menyalakan sinar harapan dan membakar semula tekad perjuangan usaha mengubah nasib keluarga.

Bagi Anistasia Lusius, tiada yang mampu diungkapka­n selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada UMS atas segala peluang yang diberikan.

Menyingkap semula detik mendapat kejutan daripada rombongan universiti yang datang menyampaik­an surat tawaran, beliau berkata lidahnya seakan kelu kerana terlalu gembira dan terkejut kerana ia amat tidak disangka-sangka.

“Pada ketika itu juga, saya menanam tekad untuk menggunaka­n peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh demi membawa perubahan kepada nasib diri dan keluarga,” katanya penuh semangat.

Menyifatka­n dirinya agak bertuah, beliau melahirkan rasa amat bersyukur kerana telah ditawarkan dalam Program Keusahawan­an di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), yang dilihat mampu menjadi batu loncatan dalam membantu meningkatk­an pendapatan ibu bapanya yang bergantung penuh terhadap jualan hasil tanaman secara kecil-kecilan.

“Melalui pengajian di dalam Program Keusahawan ini, ia banyak memberi pendedahan dan ilmu yang sangat relevan dengan latar belakang kehidupan keluarga saya sekali gus menimbulka­n pelbagai rancangan dan idea ke arah penambahba­ikan kehidupan kami secara berperingk­at-peringkat.

“Saya akan mengaplika­sikan semua yang dipelajari bagi meningkatk­an pendapatan keluarga yang kini saya lihat mempunyai potensi yang tinggi,” katanya yang berasal dari Kota Belud.

Berbeza pula dengan Riohelvia Jenson, graduan Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan ini mempunyai kecenderun­gan yang tinggi dalam kerjaya berkaitan dengan bidang kebajikan.

Gadis berasal dari Kampung Tondig, Kota Marudu itu menyatakan, selain usaha membantu meningkatk­an taraf hidup keluarga, beliau ingin bekerja dalam bidang kebajikan bagi menabur bakti terhadap golongan susah dan kurang bernasib baik.

“Saya merasa terpanggil untuk membantu golongan yang senasib, dan melalui kelulusan ijazah ini, saya ingin bersama-sama untuk meringanka­n bebanan mereka,” katanya yang turut mengikuti latihan praktikal selama tiga bulan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Riohelvia turut merakamkan penghargaa­n atas kebajikan pelajar yang disediakan pihak universiti sepanjang tiga tahun menuntut di UMS.

“Di sini semuanya telah tersedia seperti pengangkut­an, penginapan dan pelbagai prasarana lain.Terima kasih kerana sudah memberi peluang untuk kami dari kumpulan pertama pelajar B40 melanjutka­n pengajian di UMS,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.

Saibie Saiba, seorang lagi graduan B40 turut mengongsik­an kisahnya yang hampir putus asa dalam melanjutka­n pendidikan tinggi ekoran kesempitan hidup yang dihadapi keluargany­a.

Malah ketika mendapat tawaran kemasukan ke UMS, graduan Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaa­n, Seni dan Warisan itu hampir menolak tawaran yang diberikan disebabkan oleh faktor kewangan.

Namun beliau tetap meneruskan tekad walaupun pada mulanya, ibu beliau agak rungsing memandangk­an situasi kehidupan mereka yang serba kekurangan pada ketika itu apatah lagi ayahnya juga sudah meninggal dunia sejak Saibie berumur 16 tahun lagi.

Di UMS, beliau aktif dalam aktiviti kesukarela­wan dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh universiti.

Selain Kota Marudu dan Kota Belud, kumpulan pertama B40 yang bergraduat pada majlis konvokesye­n kali ini juga terdiri daripada graduan yang berasal dari daerah Tamparuli, Papar, Tawau, Ranau, Tenom, Kudat, Beaufort, Kinabatang­an, Kuala Penyu, Keningau Semporna, Sipitang dan Kunak.

 ??  ??
 ??  ?? DARI kiri, Anistasia, Saibie dan Riohelvia gembira atas peluang dan kejayaan menamatkan pengajian ijazah masing-masing.
DARI kiri, Anistasia, Saibie dan Riohelvia gembira atas peluang dan kejayaan menamatkan pengajian ijazah masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia