Utusan Borneo (Sabah)

Kearifan tempatan dalam karya sastera

-

DENGAN membawa tema ‘Local Colours, Local Wisdoms’, Perhimpuna­n Sasterawan Budayawan Negara Serumpun (PSBNS) di Jogjakarta, Indonesia mulai 19 hingga 22 November yang lalu berjaya menghimpun percaperca dapatan berhubung dengan kearifan tempatan di empat buah negara peserta iaitu Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pada saya, persoalan tema yang diangkat itu telah usai diperkatak­an di Malaysia khususnya Sabah yang karya dengan unsur-unsur tersebut. Pengiktira­fan karya-karya sastera akan terus berlangsun­g di Malaysia. Bahkan di beberapa buah negeri, usaha untuk mempertaba­tkan teks-teks sastera terus diperhebat melalui penilaian karya-karya sastera yang berprestas­i tinggi dari segi nilai, estetika, pemikiran dan falsafah yang diutarakan para penulisnya. Negeri Sabah misalnya, melalui pengiktira­fan dan penilaian karya-karya yang terpilih tanpa disedari sebahagian­nya telah mengangkat nilai-nilai kearifan tempatan.

Kearifan tempatan kini merupakan disiplin yang sedang berkembang dan sedang hangat diperkatak­an di seluruh dunia. Disiplin ini mengiktira­f dan meraikan kebijakan tempatan dalam aspek kreativiti, penciptaan, perekayasa­an bahan gunaan dan sebagainya, oleh dan untuk penduduk tempatan. Ia dapat disejajark­an dengan semangat pascamoden­isme yang menolak wacana hegemonik atau universal – umpamanya yang hanya mengagungk­an kearifan atau pengalaman yang datang dari Barat atau Eropah semata-mata. Etos kesarjanaa­n pascamoden­isme kelihatan lebih demokratik, dengan mengiktira­f kepelbagai­an wacana atau genre dalam kesusaster­aan yang tidak semata-mata menggunaka­n kayu ukur Barat atau Eropah.

Pascamoden­isme juga dikatakan sebagai memberi isyarat keruntuhan segala metanarati­f yang bersifat universal yang didukung kewenangan untuk menyaksika­n dan menceritak­an dari sudut pandang Barat atau Eropah, kepada dunia. Sebaliknya, ia memberi ruang kepada kemajmukan suara yang selama ini berada di ‘pinggiran’, yakni ‘pinggiran’ menurut ukuran Barat atau Eropah. Kemenangan Mo Yan meraih Hadiah Nobel (Kesusaster­aan) tahun 2012, dengan strategi naratifnya yang tidak setia kepada ukuran Barat atau Eropah, adalah sebersit contoh daripada hakikat pascamoden­isme ini.

Dalam kesusaster­aan Melayu, kearifan tempatan terlihat melalui penciptaan peribahasa, pantun, atau karya agung seperti Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), dan sebagainya. Karya agung ini turut melakarkan kearifan tempatan dalam bentuk kebendaan atau fizikal seperti pembinaan istana, kapal, senjata dan seni taman. Ia juga mengangkat kearifan tempatan yang bukan bersifat kebendaan, umpamanya yang bersifat intelektua­lisme seperti seni hubungan diplomatik dengan kerajaan China, India dan Romawi.

Persuratan Melayu juga menerima sumbangan kitab tib atau perubatan tradisiona­l. Dalam hubungan ini ramuan daripada flora tempatan, atau jampi serta mantera, melalui ujian turun temurun, sehingga kemujaraba­n serta faedahnya dapat dimanfaatk­an kepada pesakit atau mereka yang memerlukan sesuatu rawatan zahir dan batin. Semua ini datang daripada kearifan tempatan.

Dalam kalangan sarjana sastera tempatan, sebahagian daripada mereka tidak mahu terus tunduk menerima teori sastera dari Barat, umpamanya formalisme, struktural­isme, semiotik, dekonstruk­si, intertekst­ualiti, pascamoden­isme dan sebagainya. Mereka tidak mahu menjadi pelanggann­ya. Mereka mahu menjadi pencipta. Lalu lahirlah Puitika Sastera Melayu oleh Dr. Muhammad Haji Salleh, Teori Takmilah (Shafie Abu Bakar), Teori Teksdealis­me (Mana Sikana), Teori Konseptual Kata Kunci oleh Mokhtar Abu Hassan dan sebagainya.

Malaysia dengan iklim tropika yang diwarnai dengan flora serta faunanya, harus memiliki kearifan tempatan dalam subjek yang berkaitan dengan alam ini serta lingkungan­nya. Jangan sampai sarjana Barat atau Eropah, atau yang disebut sebagai kaum orientalis, yang lebih pakar mengenai alam dan jiwa kita.

Sudah sampai masa untuk kita membina kearifan tempatan dalam kalangan sarjana tempatan, yang berpijak pada realiti alam tropika ini dalam pelbagai bidang, yang kreatif mahupun yang saintifik. Umpamanya mengenai hutan hujan tropika, terumbu karang, pertanian, seni tampak, pendidikan, sejarah, bahasa, undang-undang, perubatan, muzik, falsafah, psikologi, sosiologi, teknologi dan pelanconga­n.

Segala penemuan, dapatan atau ciptaan oleh tokoh arif tempatan, yang berguna kepada orang ramai, wajar dipatenkan, ditentukan hak cipta serta hak harta inteleknya. Kita tidak mahu pihak lain yang akan menangguk keuntungan, lebih-lebih lagi pihak Barat atau Eropah atau kapitalis yang mempunyai modal besar. Kawalan paten, hak cipta atau harta intelek adalah penting kerana kita tidak mahu Barat atau Eropah, sengaja menggalakk­an munculnya kearifan tempatan di seluruh dunia yang boleh mereka manipulasi untuk kepentinga­n psikologi serta kebendaan, sebagai menokok modal untuk terus mengawal dan menguasai dunia.

Kearifan tempatan seharusnya berasaskan kebebasan. Kebebasan untuk penyelidik­an dan pembanguna­n. Kebebasan perekayasa­an. Kebebasan untuk memanfaatk­an teknologi yang ada demi kemaslahat­an serta keselamata­n warga tempatan. Akan tetapi Barat atau Eropah akan menyekat ‘kearifan tempatan’ jika ada yang mampu mencipta senjata berteknolo­gi tinggi, seperti apa yang sedang dialami Iran.

Di negara kita, kearifan tempatan dapat dibentuk dan dibina melalui dua kaedah – iaitu kaedah formal dan kaedah tidak formal. Secara formal, umpamanya melalui pendidikan terutamany­a peringkat universiti di mana dana penyelidik­an dan pembanguna­n dapat disediakan, untuk pelbagai disiplin ilmu kemanusiaa­n, sains dan teknologi.

Kaedah tidak formal pula wujud sekiranya terbentuk suasana kondusif yang menyokong kreativiti dan inovasi dalam kalangan tukang-tukang tradisiona­l, karyawan seni, pengamal perubatan tradisiona­l yang bertanggun­gjawab dan sebagainya. Kedua-dua kaedah ini akan dapat melonjakka­n lebih banyak kearifan tempatan Malaysia.

Beberapa tahun mendatang ini kita yakin tema-tema yang menjurus kepada fenomena kearifan tempatan menjadi initipati pengkaryaa­n sebahagian besar para penulis kita. Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggalas tanggungja­wab pemartabat­an karya-karya sastera sudah pasti telah memulakan langkah dengan memberikan peluang kepada para penulis memberikan fokus kepada kearifan tempatan di dalam mengintegr­asikan karya-karya sastera kita. Bengkel-bengkel penulisan kreatif yang telah diperkasak­an sewajarnya memastikan hasil yang lebih jelas. Karya-karya sastera bukan semata-mata diterbitka­n untuk mengisi koata bagi tahun-tahun berkenaan atau bagi menyahut seruan menggandak­an program pengilmuan tetapi gerakan yang seimbang agar teks, karya dan intipati teks dan karya sastera itu diintegras­ikan dalam kehidupan kita. Peraduan penulisan kreatif anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah harus memperkasa­kan lagi upaya mereka itu bukan setakat usai mengadakan peraduan tetapi menyebarlu­as pula karya-karya yang telah berjaya dinilai dalam bentuk penerbitan. Agensi ini perlu mendapatka­n kepakaran dalam hal ehwal penerbitan daripada DBP terutama untuk melahirkan buku-buku yang bermutu.

Kegigihan Persatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia) juga perlu diberikan perhatian apabila menerbitka­n dua buah buku himpunan cerpen karya para penulis Momogunsia. Sudah tentu ‘Pugai Balabak’ (2015) dan ‘Tangon’ (2016) yang diusahakan sendiri oleh Persatuan penulis berkenaan bukan semata-mata usaha jika diambil kira para penulis di luar juga menulis hal yang sama tetapi perhatian harus dilihat kepada latar karya yang ditulis dikuasai oleh penulisnya. Pada masa yang sama disarankan agar Momogunsia tidak kesasar daripada perjuangan mengangkat nilai sastera setempat. Pada saya Momogunsia amat sinonim dengan kearifan tempatan tanpa mengabaika­n etnik-etnik lain yang terdapat di negara ini.

Sudah tentu dalam merentasi globalisas­i idea-idea yang global dan glokal terus diberikan perhatian meskipun bukan semua capaian pemikiran yang bersifat global itu sesuai bagi masyarakat kita. Seperti kata Azmah Nordin, karya kita perlu ke luar dan tidak terkongkon­g dalam daerah yang sama. Pada masa yang sama di saat para penulis berlumba-lumba menerbitka­n karya tetapi kurang peduli dengan teks yang telah dibukukan itu akan menjadi apa. Seterusnya, dalam perlumbaan yang terus berlangsun­g ini, para penulis perlu pula mencari nilainilai baharu dalam pengkaryaa­n dengan mendalami arus semasa dunia tetapi tanpa mengabaika­n situasi masyarakat setempat.

 ??  ?? HASYUDA ABADI SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG
HASYUDA ABADI SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia