Tabung Asnaf Sandakan dilancar

Kem Asnaf membina generasi muda memahami kepentingan solat dan mencintai al-Quran

Utusan Borneo (Sabah) - - Rencana - Oleh SALMAN ABADI

A

NGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) daerah Sandakan dan Jawatankuasa Dakwah Daerah Sandakan (JDDS) telah menganjurkan ‘Program Kem Asnaf 2016 & Bantu Asnaf Kembali Ke Sekolah’ peringkat daerah Sandakan baru-baru ini.

Program selama dua hari satu malam itu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian (Batu 25) Sandakan, dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ketua Kampung (KK) dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Garinono, Kampung Pertanian dan Kampung Sinar Harapan.

Yang Dipertua (YDP) Abim Sandakan, Ustaz Fikri Muharam berkata, Kem Asnaf merupakan satu usaha murni yang bermatlamat untuk membina generasi asnaf yang memahami kepentingan amalan solat dan dalam masa yang sama mencintai al-Quran.

Katanya, peserta program disasarkan kepada golongan anak-anak yatim, anak miskin dan anak mualaf.

Namun, bagi daerah Sandakan, pihak penganjur telah memilih SK Kampung Pertanian (Batu 25) sebagai lokasi pelaksanaan program Kem Asnaf 2016 berdasarkan kesesuaian dengan mengambil kira pelbagai faktor yang berkaitan.

Seramai 100 peserta terlibat menyertai program itu dan kesemuanya adalah murid sekolah SK Kampung Pertanian dari beberapa perkampungan di kawasan sekitar.

Ustaz Fikri yang juga guru Pendidikan Islam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sandakan menjelaskan, Kem Asnaf merupakan program tahunan pihak Abim yang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, pada tahun 2015, seramai 700 orang anak-anak asnaf telah menyertai kem tersebut di enam lokasi (daerah) di Sabah iaitu Tuaran, Ranau, Tongod, Beluran, Sandakan dan Kota Belud.

“Kem ini dipakejkan sekali dengan penyerahan bantuan peralatan sekolah, hasil sumbangan orang ramai melalui projek Bantu Asnaf Kembali Ke Sekolah”, katanya.

Beliau berkata, hasrat Kem Asnaf dianjurkan adalah untuk berbuat ihsan (berbuat baik) dengan memberi pendidikan agama yang akan menjadikan anak sholeh dalam kehidupan harian anak-anak yatim, miskin dan mualaf.

Justeru katanya, pihak Abim dan JDDS menggerakkan program berkenaan sambil mengajak pelbagai pihak dan agensi berkaitan, pihak swasta dan badan korporat serta masyarakat umum agar prihatin dengan nasib mereka (golongan asnaf) dengan memberikan bantuan, menyayangi dan berlemah-lembut kepada mereka.

Katanya, usaha memberikan pendidikan berkaitan solat dan al-Quran kepada golongan asnaf ini adalah tanggungjawab bersama kerana mereka juga merupakan sebahagian generasi muda masa depan Islam dan negara.

Menurutnya, program Kem Asnaf menggariskan tiga objektif pelaksanaannya iaitu memberi motivasi dan bimbingan teori dan amali solat agar para peserta memahami kepentingan solat dan dapat melakukannya dengan baik.

Selain itu, ia juga memberi kefahaman tentang al-Quran adalah mukjizat dan kaedah membaca al-Quran dengan baik agar peserta dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, ia juga bertujuan membangunkan kesedaran kepada masyarakat umum untuk terlibat memainkan peranan dan tanggungjawab dalam konteks pembangunan anakanak asnaf secara langsung atau tidak langsung.

Fikri menjelaskan, modul latihan sepanjang kem itu memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu modul latihan ‘smart solat’, modul latihan bijak alQuran dan modul latihan pembangunan diri, selain aktiviti ‘Al-Quran Membina Jati Diri’ dan ‘Quranic Treasure Hunt’.

Turut diadakan ialah aktiviti membina kerjasama dan kepimpinan dalam kumpulan melalui permainan ( game) yang dinamakan ‘Superball Fit’.

Para peserta diberi pendedahan dan ilmu pengetahuan berdasarkan kesemua modul tersebut melalui pendekatan dan kaedah bimbingan dalam bentuk ceramah, amali, latihan dalam kumpulan (LDK) dan sebagainya.

Katanya, dalam ‘modul latihan smart solat’, para peserta akan diberikan ilmu tentang kepentingan dan keutamaan solat dalam kehidupan seorang mukmin dan diberi bimbingan lengkap (A hingga Z) tentang praktis solat (sembahyang).

Bagi ‘modul latihan bijak Al-Quran’, peserta diberikan ilmu tentang alQuran sebagai mukjizat dan sumber rujukan mukmin, peri penting al-Quran dalam kehidupan dan bimbingan lengkap untuk membaca al-Quran dengan baik dan menggalakkan mereka khatam al-Quran.

Sementara itu, bagi ‘modul latihan pembangunan diri’, para peserta diberi bimbingan mengatur hidup berteraskan panduan solat serta bagaimana al-Quran dijadikan sumber rujukan dalam kehidupan muslim mukmin.

Pada akhir setiap modul latihan, para peserta akan mengisi borang soal selidik untuk meninjau keberkesanan latihan dan

‘database’ peserta direkodkan untuk tujuan latihan susulan.

Pelaksanaan Kem Asnaf itu turut dibantu seramai 16 orang pembimbing (fasilitator) yang terdiri daripada ahli Abim dan juga pelajar lepasan SPM dari MRSM dan beberapa sekolah di Sandakan.

Manakala urusan masakmemasak atau penyediaan makan minum sepanjang program itu dibantu sepenuhnya oleh para ibu bapa dan PIBG SK Kampung Pertanian.

Selain pelaksanaan program melalui tiga modul tersebut, pelaksanaan Kem Asnaf turut melibatkan projek ‘Bantu Asnaf Kembali Ke Sekolah’ (BAKKS).

Menurut Fikri, dalam projek BAKKS yang dilaksanakan sejak 2012, ia bertujuan meringakan bebanan para ibu bapa/ penjaga asnaf menyediakan peralatan sekolah untuk sesi persekolahan tahun hadapan, sekali gus memberi semangat dan menceriakan golongan asnaf untuk pergi ke sekolah.

Jelasnya, bilangan golongan asnaf yang dibantu adalah bergantung kepada ‘infaq’ atau sumbangan derma daripada orang ramai atau pelbagai pihak yang prihatin.

“Projek BAKKS yang dipakejkan bersekali dengan Kem Asnaf merupakan strategi menggalakkan asnaf menghayati tujuan mereka dibantu”, katanya, dengan harapan agar mereka mengamalkan cara hidup Islam melalui amalan solat dan pembacaan al-Quran.

Majlis perasmian Kem Asnaf 2016 daerah Sandakan disempurnakan oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Daerah Sandakan, Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain.

Sempena majlis itu, Mohd Hamsan turut melancarkan ‘Tabung Asnaf’ Jawatankuasa Dakwah Daerah Sandakan dan ABIM Sandakan sebagai usaha untuk menggalakkan dan mendidik masyarakat untuk menyumbang dan menghulurkan bantuan kepada golongan keluarga (asnaf) yang memerlukan bantuan.

Berucap pada majlis itu, beliau (Mohd Hamsan) melahirkan hasrat untuk mengembangkan konsep wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di daerah Sandakan.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama Abim Sandakan dan para NGO Islam (pertubuhan bukan kerajaan) khususnya di daerah Sandakan”, katanya sambil berharap agar ia mendapat sokongan dan sambutan pelbagai pihak khasnya masyarakat Islam di daerah Sandakan.

(Gambar atas) PESERTA Kem Asnaf 2016 di SK Kampung Pertanian (Batu 25) bergambar kenangan bersama YDP Abim Sandakan, Ustaz Fikri Muharam (duduk tujuh kiri) dan para fasilitator. (Gambar kanan) FASILITATOR membimbing peserta dalam aktiviti Latihan Dalam...

(Gambar kiri)

PESERTA kem turut dibimbing secara amali dalam aktiviti berwuduk.

(Gambar atas)

FASILITATOR membimbing peserta tentang cara-cara yang betul mengerjakan solat.

‘Superball Fit’.

AKTIVITI membina kerjasama dan kepimpinan dalam kumpulan melalui permainan

MOHD Hamsan (dua kanan), Fikri (kiri), Sazalie dan Basri (kanan) bersama sebahagian penerima sumbangan beg dan peralatan sekolah melalui projek ‘Bantuan Asnaf Kembali Ke Sekolah’.

MOHD Hamsan (dua kiri) melancarkan Tabung Asnaf Daerah Sandakan sambil diiringi Fikri (tiga kanan), Sazalie (kiri), Basri dan Dr Mohammad Selamat.

SEBAHAGIAN ibu bapa yang membantu kerja-kerja di dapur sepanjang kem itu bersama Ketua Kampung Garinono, Alia Angkat (tiga dari kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.