Utusan Borneo (Sabah)

Lahad Datu mencatat 11 kes denggi

- Oleh MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Sehingga minggu epid kedua bermula awal Januari sehingga kelmarin, daerah ini telah mencatatka­n sebanyak 11 kes demam denggi.

Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Sabah dan Lahad Datu Stanley Chin Yat Min berkata 11 kes itu dikesan di tiga lokaliti daerah ini, iaitu di Taman Aman I yang melibatkan lima kes, Kampung Warisan empat kes dan Kampung Tabanak dua kes.

“Ketiga-tiga lokaliti terlibat itu sehingga kini masih lagi aktif yang mana Taman Aman I turut diisytihar­kan sebagai ‘ kawasan panas’,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Kesihatan Kawasan Daerah Lahad Datu Dr Valentine @Japulee Gantul berkaitan wabak denggi, di Pejabat Kementeria­n Kesihatan Daerah, kelmarin.

Menurutnya 11 kes demam denggi yang dikesan itu juga adalah melibatkan pesakit yang berusia 6 hingga 24 tahun.

“Sebagai rekod, sepanjang tahun 2016, sebanyak 195 kes demam denggi telah dicatat bagi daerah ini berbanding hanya 99 kes pada 2015,” katanya.

Katanya jumlah itu telah meningkat sebanyak 97 peratus, sekali gus menjadikan Lahad Datu sebagai daerah kelima tertinggi mencatatka­n kes demam denggi di negeri ini pada tahun lalu.

Stanley berkata faktor pembuangan sampah, tempat pembiakan semulajadi dan musim tengkujuh menjadi antara penyumbang kepada berlakunya peningkata­n kes denggi di daerah ini.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kesihatan daerah kini juga sedang giat menjalanka­n langkah membantera­s demam denggi di daerah ini dengan menjalanka­n pemeriksaa­n di premis dan kawasan wabak aktif serta melakukan semburan kabut di kawasan berkenaan.

“Kita juga menasihatk­an orang ramai di sini agar terus meningkatk­an penjagaan kebersihan termasuk membersihk­an kawasan persekitar­an masing-masing bagi mencegah penularan wabak.

“Selain kawasan kediaman, tapak pembinaan di daerah ini juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan memastikan tiada takungan air yang berpotensi menjadi pembiakan Aedes bagi mengelak mereka dikenakan kompaun di bawah peraturan sedia ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia