Utusan Borneo (Sabah)

Polis minta lelaki panjat kren tampil bantu siasatan

-

IPOH:Polis meminta lelaki yang memanjat kren di sebuah tapak pembinaan di Jalan Bougainvil­lea di sini awal bulan ini supaya tampil bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Abdul Rani Alias berkata pihaknya sedang berusaha mengesan lelaki terbabit termasuk menghantar permohonan kepada Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Polis telah menghantar surat kepada SKMM untuk membantu pihak berkuasa mengesan identiti lelaki terbabit menerusi akaun Facebook miliknya, namun belum mendapat maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpuna­n bulanan Ketua Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Putih di sini, kelmarin.

Katanya setakat ini, dua kertas siasatan dibuka terhadap kes itu melibatkan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan yang boleh membahayak­an nyawa atau keselamata­n diri orang lain dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Selain itu, Abdul Rani menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki terbabit agar tampil bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau menasihatk­an supaya orang ramai tidak lagi terikut-ikut dengan tred seumpama itu sebelum berlaku sebarang tragedi.

“Masih banyak lagi aktiviti mencabar boleh dilakukan dengan cara yang ‘halal’ seperti mengikut kelab kembara atau sebagainya yang ada pengalaman untuk membimbing serta peralatan keselamata­n yang lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rani meminta orang ramai yang ingin meninggalk­an rumah sempena cuti musim perayaan Tahun Baharu Cina agar memaklumka­nnya kepada pihak polis.

Beliau berkata, ia bukan sahaja dapat membantu polis membuat pemantauan malah ia dapat mencegah kejadian jenayah daripada berlaku.

Selain itu, beliau juga menasihatk­an ibu bapa agar dapat mencegah anakanak mereka daripada bermain mercum kerana bimbang ia akan mendatangk­an bahaya kepada mereka atau orang lain. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia