Utusan Borneo (Sabah)

Pemuda Umno dan BN Sabah sudah bersedia hadapi pilihan raya negeri

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin Pemuda Umno dan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah sudah bersedia sekiranya pilihan raya di negeri ini diadakan lebih awal.

Menurutnya Ketua Pemuda Umno Sabah Yamani Hafez Musa telah memberi laporan mengenai persediaan mereka dan beliau percaya BN boleh mendapat mandat yang besar daripada rakyat.

Katanya kejayaan itu boleh dicapai dengan adanya rancangan daripada kerajaan negeri serta sokongan kerajaan Pusat yang sangat baik.

“Saya percaya dan yakin rakyat di Sabah akan terus beri sokongan kepada BN. Tetapi kita kena kerja kuat. Saya telah maklumkan kepada Yamani supaya kita turun ke bawah dan dekati generasi muda bukan sahaja Umno tetapi BN terutama daripada kaum Cina serta Kadazan, Dusun dan Murut.

“Kita perlu dekati mereka dan beri penjelasan mengenai isu-isu yang mungkin belum dapat diselesaik­an lagi. Kita ada isu tempatan dan isu nasional, dan kedua-dua isu ini perlu dijelaskan sebab orang muda sekarang ini dapat banyak akses kepada maklumat dan ia perlu dijawab oleh kerajaan.

“Dan, kita jangan ingat isu nasional yang berlaku di peringkat persekutua­n tidak ada impak kepada orang muda di Sabah. Oleh itu, pendekatan kita ada dua iaitu isu tempatan dan nasional. Kita kena pastikan kedua-dua isu ini dapat kita jawab dan jelaskan kepada generasi muda. Ini adalah strategi kita secara keseluruha­nnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kemungkina­n pilihan raya negeri diadakan awal selepas melancarka­n Program FitMalaysi­a Peringkat Negeri Sabah di Padang Bandaran Sandakan, di sini, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia