Utusan Borneo (Sabah)

Sekumpulan lelaki ditahan berkaitan kes kecurian bahan radioaktif

-

SHAH ALAM: Polis menahan sekumpulan lelaki selepas menemui beberapa bahan radioaktif dipercayai ‘Iridium 192’ yang disembunyi­kan dalam sebuah bilik kabel telefon berhampira­n sebuah pangsapuri di Seksyen 36 di sini, malam Sabtu.

Menurut sumber polis, penahanan sekumpulan lelaki itu dibuat susulan penemuan beberapa objek berbentuk seperti bom oleh pemilik kedai besi terpakai di Kampung Jawa, Klang, Khamis lepas.

“Siasatan awal menunjukka­n bahan radioaktif yang dijual di kedai itu dilaporkan dicuri dari sebuah syarikat cari gali minyak di Klang baru-baru ini.

Susulan itu, polis kemudian mengenal pasti individu yang menjual bahan berkenaan sebelum membuat serbuan ke atas sebuah unit pangsapuri di Seksyen 36 kira-kira pukul 8.30 malam tadi dan menahan beberapa individu,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa lagi bahan radioaktif yang disembunyi­kan di sebuah bilik kabel telefon di pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Alzafny Ahmad, ketika dihubungi mengesahka­n kejadian itu namun enggan mengulas mengenainy­a.

“Buat masa ini polis telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung kes itu dan maklumat lanjut akan kita maklumkan kemudian...apa yang saya boleh nyatakan bahan yang ditemui itu berbahaya sekiranya bocor kerana mempunyai radiasi,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia