Utusan Borneo (Sabah)

Anggota polis ditahan selepas lepaskan tembakan rambang

-

PADANG BESAR: Seorang anggota Pasukan Gerak Am (PGA) lelaki berpangkat koperal melepaskan berdasdas tembakan secara rambang ke udara di pos keselamata­n sempadan di sini petang Sabtu.

Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai mengalami tekanan lalu melepaskan tembakan sehingga habis kelopak peluru senapang M16 miliknya sebelum merampas M16 rakannya dan turut menembak sehingga habis kelopak peluru senjata berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden kira-kira pukul 5 petang di pos keselamata­n bersempada­n Thailand di sini dan suspek yang bertugas di Batalion Pertama berpengkal­an di Ulu Kinta, Perak diberkas rakan-rakannya sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Ghazani Abdul Ghani berkata suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek menembak sehingga habis kelopak peluru M16 miliknya dan kemudian mengambil M16 milik rakannya dan turut menembak sehingga habis tetapi tiada yang menjadi mangsa tembakanny­a.

“Dia mungkin mengalami tekanan dan mengambil dadah untuk melepaskan­nya kerana ujian air kencing yang dibuat mendapati beliau positif dadah,” kata Ghazani ketika dihubungi kelmarin.

Menurutnya polis turut merampas dua senapang M16 berkaitan insiden itu dan juga tiga kelopak peluru senjata sama.

Difahamkan setiap kelopak peluru M16 boleh memuatkan antara 20 dan 30 peluru.

Ghazani berkata suspek menyertai operasi selama sebulan bersama pasukannya di sempadan MalaysiaTh­ailand di sini dan sepatutnya pulang ke Ulu Kinta kelmarin.

Bernama difahamkan polis kelmarin mendapat perintah tahanan reman empat hari ke atas suspek bagi membantu siasatan.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia