Utusan Borneo (Sabah)

Polis Besut tahan lelaki, rampas 1,175 bungkus air ketum

-

BESUT: Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas 1,175 bungkus air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kepala Gajah, Renek dekat sini petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, bungkusan air ketum tersebut ditemui tersimpan dalam dua tong plastik dan tiga bungkusan plastik di ruang tamu rumah yang didiami lelaki berkenaan.

“Ketika disoal siasat suspek mengatakan dia hanya sebagai penjaga rumah itu dan tidak tahu mengenai kewujudan air ketum berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau direman mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembang­an lain, Mohd Zamri berkata seorang lelaki berusia 60 tahun cedera apabila dipukul dan ditetak dengan sabit oleh anaknya setelah berlaku pertengkar­an di rumahnya di Kampung Bakat, Jabi dekat sini.

Katanya dalam kejadian pukul 4.55 petang itu, suspek yang merupakan penagih dadah telah pergi ke rumah bapanya dan berlaku perselisih­an faham sehingga pertengkar­an berlaku.

“Suspek berusia 22 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau berhubung dadah bertindak memukul dan menetak mangsa menggunaka­n sabit hingga luka di bahu mangsa,” katanya.

Menurut Mohd Zamri, polis menahan suspek bersama sabit yang digunakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia