Utusan Borneo (Sabah)

Saksi kes rampas senjata pengawal pos tentera bakal dipanggil

-

KUALA TERENGGANU: Pihak polis akan memanggil beberapa saksi termasuk anggota tentera dan keluarga suspek bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan merampas senjata di sebuah kem tentera di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata polis juga sedang menyemak rekod penyakit mental yang dihidapi suspek dengan Kementeria­n Pertahanan.

“Kita akan memanggil saksi dalam waktu terdekat bagi merakamkan percakapan mereka.

“Setakat ini suspek masih ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kita juga akan merujuk suspek kepada pihak perubatan selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hadiah Kasih Sayang di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara di sini kelmarin.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transforma­si Negeri, A.Latiff Awang itu turut dihadiri Naib Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Azlin Othman.

Jumaat lalu suspek yang juga bekas tentera berusia 41 tahun dikatakan bertindak agresif dengan mengacukan pisau dan merampas selaras senapang milik anggota tentera yang bertugas di pos kawalan utama kem tentera itu kira-kira pukul 1.55 tengah hari.

Rosli semalam turut menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan militan Daesh memandangk­an suspek mempunyai rekod sakit mental dan telah diberhenti­kan daripada perkhidmat­an pada tahun 2007. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia