Utusan Borneo (Sabah)

Jabatan Pertanian Padang Terap basmi kera pemusnah tanaman

-

KUALA NERANG: Jabatan Pertanian daerah Padang Terap menganjurk­an Program Kawalan Bersepadu Tanaman (Kera) bagi membasmi kehadiran kumpulan kera yang merosakkan tanaman akhir-akhir ini.

Pegawai Pertaniann­ya, Yuzaidi Azmi berkata program bersepadu antara Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) dengan Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjun­g Malaysia itu melibatkan 16 anggota dan tertumpu di Kampung Bukit Tembaga dan Kampung Kuala Pai.

Katanya seluas 330 hektar daripada 33,000 hektar kawasan pertanian di daerah itu diganggu kumpulan kera berkenaan terutama di kebun pisang, betik dan dusun buahbuahan.

“Kita terbahagi kepada tiga kumpulan dan kawasan ini menjadi tumpuan pada kali ini kerana kerap kali kami menerima aduan tentang haiwan perosak berkenaan yang merosak dan memakan tanaman,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Selain merosakkan tanaman, kumpulan kera di sini semakin berani menceroboh masuk ke kawasan penempatan untuk mencari makanan sehingga mengganggu ketenteram­an penduduk di situ.

“Setakat ini saya difahamkan, lima kes serangan terhadap manusia dilaporkan di daerah ini termasuk seorang penoreh getah yang diserang lotong di Kampung Kubang Palas di sini, baru-baru ini.

“Sebelum ini Perhilitan pernah memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti, namun ia kurang berkesan hingga memaksa tindakan akhir diambil bagi mengelak lebih banyak kawasan pertanian terjejas,” katanya.

Noridah Khamis, 59, dari Kampung Bukit Tembaga berkata, operasi ini melegakan beliau dan keluarga kerana sebelum ini mereka sering diganggu kumpulan haiwan itu sejak setahun lalu.

“Gangguan berlaku ketika waktu pagi di mana kera ini keluar mencari telur ayam dan itik peliharaan saya dan setiap hari tidak kurang 15 biji telur hilang dimakan, malah jika tiada telur, ia makan pucuk pisang dan merosakkan tanaman saya pula,” katanya.

Lebih 50 ekor kera yang sebelum ini menjadi musuh tanaman dan memberi ancaman kepada penduduk, ditembak dalam operasi yang bermula sekitar 11.30 pagi. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia