Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki dipercayai jatuh sungai ditemui mati lemas

-

KUCHING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai dari Jambatan Datuk Chng Kiun Kong, Jalan Batu Kawa di sini, pada Jumaat lepas ditemui lemas pagi Ahad.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhd Shahrul Iffin Suidi, 29, ditemui tiga anggota bomba yang melakukan rondaan menggunaka­n bot di sekitar tempat kejadian sekitar jam 7 pagi.

“Mangsa ditemui pada jarak 500 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Pos Kawalan Bomba,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutny­a.

Operasi mencari dan menyelamat itu dianggotai 18 orang daripada JBPM, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut laporan akhbar Utusan Borneo pada Ahad, bapanya, Suidi Suhaimi mendakwa melihat motosikal anak kedua daripada tujuh adik beradik itu diletakkan di tepi jambatan berkenaan sekitar jam 3 petang Jumaat lalu.

“Mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi selepas dia (mangsa) tidak pulang rumah saya terus membuat laporan polis dan turut dimaklumka­n oleh beberapa orang awam ada melihat ‘seseorang’ berdiri di tepi jambatan pada Jumaat,” katanya.

Difahamkan, mangsa mengalami masalah mental dan pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri.

“Dia tidak sihat (mental) dan perkara tersebut disahkan sejak tiga tahun lalu, tetapi kami tidak menyangka yang dia akan bertindak sebegini,” katanya.

 ??  ?? PASUKAN bomba mengangkat mayat mangsa.
PASUKAN bomba mengangkat mayat mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia