Utusan Borneo (Sabah)

Sembur bahan pewarna ke atas udang, dua peniaga didenda

-

KOTAKINABA­LU: Seorang lelaki dan wanita tempatan yang menyemburk­an bahan pewarna ke atas udang seberat 6.9 kg agar kelihatan segar, dikenakan denda sebanyak RM20,000, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin.

Hakim Azreena Aziz menjatuhka­n hukuman itu terhadap Abdul Naser Jainuk, 56, dan Nura Imam Anuk, 44, selepas mengaku bersalah.

Sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda berkenaan, mahkamah memerintah­kan penjara selama tempoh enam bulan dikenakan.

Mereka secara bersama melakukan perbuatan itu, untuk memperdaya­kan orang awam, pada 20 Januari tahun lalu jam 10.50 pagi, di sebuah gerai pasar ikan masin UNCHR, Sinsuran, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9 (a) Akta Perlindung­an Pengguna 1999 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (1) (b) akta sama.

Hukuman yang diperuntuk­kan, boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tempoh tiga tahun, atau dengan kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga tempoh enam tahun, atau dengan kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada hari sama, sepasukan pegawai penguatkua­sa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK), membuat pemeriksaa­n di premis berkenaan.

Pemeriksaa­n dibuat berikutan aduan daripada orang awam dan video tular di media sosial, mengenai peniaga yang mencampurk­an bahan pewarna ke atas udang kering untuk dijual.

Hasil pemeriksaa­n pasukan KPDNKK berjumpa dengan Nura, dan menjelaska­n gerainya sudah ditutup oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), berikutan laporan awam dan video tular berkenaan.

Pihak KPDNKK juga menyita 100 gram udang kering dan dikemukaka­n ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis.

Dalam pada itu, mahkamah membenarka­n kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan secara ansuran bermula kelmarin dan tarikh terakhir pada 30 Jun depan.

Pendakwaan berkenaan dilakukan Pegawai Pendakwa Awang Azri Biahi dari KPDNKK.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia