Utusan Borneo (Sabah)

Jurutol didakwa cederakan bayinya yang baru lahir

-

KAJANG: Seorang jurutol wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin berhubung kes bayi lelaki yang baru dilahirkan dijumpai cedera di dalam longkang di tempat kerjanya, Januari lalu.

Mastura Shari, 32, yang memakai kemeja-T lengan panjang berwarna ungu dan tudung hitam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mastura didakwa atas pertuduhan menyebabka­n kecederaan yang boleh menyebabka­n kematian terhadap seorang bayi lelaki, di Pejabat Tol Bukit Kajang, Hulu Langat di sini antara 4.20 petang dan 5.40 petang, 6 Jan lepas.

Wanita itu yang belum berkahwin didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Balkiah Abdul Yazaid tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun sekiranya mahkamah membenarka­n jaminan beliau memohon jumlah yang tinggi.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membayar jaminan itu dan dihantar ke Penjara Kajang. Bayi lelaki itu yang kini berusia sebulan lebih dijaga oleh keluarga tertuduh.

Terdahulu wanita itu yang kelihatan lemah dan tidak bermaya kerana masih di dalam pantang hadir seawal jam 8 pagi bersama ibu dan bapanya.

Dia juga sepanjang masa dilihat menutup mukanya dengan sehelai baju sejuk termasuk ketika berada di galeri awam mahkamah sehingga seorang anggota polis menegurnya supaya tidak berbuat demikian.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia