Utusan Borneo (Sabah)

Rakyat Aceh kental bangkit pascatsuna­mi

-

ALUNAN lagu dodoi tradisiona­l Aceh yang menjadi muzik latar visual tragedi tsunami lebih sedekad lalu di Muzium Tsunami Aceh, pasti meruntun hati mereka yang mendengarn­ya.

Tanpa perlu memahami maksudnya, suara mendayu nyanyian Cut Aja Rizka itu seolah-olah membawa kita kembali kepada detik cemas yang melanda bandar itu pada awal pagi tanggal 26 Disember, 2004.

Perjalanan menjejak kesan tinggalan tragedi sedih itu bermula di muzium tsunami yang dibuka pada 2009, yang dilihat sebagai simbolik kejadian yang meragut 230,000 nyawa itu.

Perasaan penulis begitu terusik tatkala melalui sebuah lorong gelap sepanjang 50 meter, diiringi bacaan zikir dan bunyi air mengalir deras seolah-olah membawa kita kembali kepada suasana pagi Ahad ketika kejadian menyayat hati itu berlaku.

Air mata penulis akhirnya berderai apabila tiba di sebuah bilik yang mempunyai 3,800 ukiran nama mangsa tsunami mewakili kesemua mereka yang terkorban sambil mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disedekahk­an kepada mereka yang telah pergi.

Ketika mendengar lagu ‘Doda idi Bela Nanggroe’ itu, pemandu pelancong yang bersama penulis ketika itu menjelaska­n maksud lirik lagu itu.

Mohamad Effendi Acek, atau lebih senang dipanggil Mr Ferry, berkata setiap kali mendengar lagu itu, dia terasa sayu meskipun lagu itu sebenarnya sudah wujud sebelum tragedi itu berlaku.

Bagaimanap­un, menurutnya lagu itu sering dimainkan selepas tragedi berkenaan seolah-olah sebagai pembakar semangat kepada masyarakat Aceh untuk bangkit semula daripada kesedihan.

“Sampai sekarang kalau dengar lagu ini, hati saya terusik, buatkan hati saya ingin terus bangkit berjuang,” kata beliau ketika ditemui pada Misi Kemanusiaa­n Johor Corporatio­n-Kelab Media Johor (KMJ) Prihatin Aceh di Banda Aceh baru-baru ini.

Kata Mr Ferry lagi, lagu itu berbentuk nasihat ibu kepada anaknya supaya jangan cepat mengaku kalah dan sentiasa berjuang walau apapun cabaran yang mendatang.

Menurut Mr Ferry, ketika tsunami berlaku, tidak seorang pun tahu apa itu tsunami sehinggaka­n mereka tidak bersedia dan ramai terkorban.

TANGISAN HIBA

Selepas 12 tahun berlalu, bandar yang diberi nama jolokan ‘Serambi Mekah’ itu bagaimanap­un kini lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkina­n.

Bukan sahaja banyak bangunan yang lebih bercirikan perlindung­an menghadapi bencana, malah Muzium Tsunami Aceh itu direka khas supaya boleh dijadikan pusat pemindahan bencana yang dapat menampung sehingga 9,000 orang.

Pengalaman menghadapi tsunami juga diceritaka­n oleh generasi sebelum ini kepada generasi muda supaya dapat dijadikan panduan pada masa hadapan.

Menurut Mr Ferry, rakyat Aceh yang hilang ahli keluarga dan harta benda pada tragedi malang itu tidak mahu menjadikan ia alasan untuk terus bersedih di sebaliknya bangkit meneruskan kehidupan mereka.

Di Asrama Anak Yatim Johor, kira-kira 20 minit dari bandar, penulis bertemu dengan seorang anak muda yang bercita-cita mahu menjadi pemanah negara.

Ketika tragedi itu, Mohd Siddiq Mohd Dahlan, baru berusia enam tahun, namun ingatannya tetap jelas akan kejadian yang berlaku pada ketika itu yang meragut nyawa ibunya Fatmawati dan tujuh adik beradiknya.

Remaja berusia 18 tahun itu bagaimanap­un bersyukur masih mempunyai abang dan berpeluang meneruskan pengajian sepanjang menjadi penghuni di asrama yang diwujudkan khas buat anak yatim selepas tsunami.

Ketika menceritak­an kisahnya, Mohd Siddiq menutup mata sambil air matanya bercucuran membuatkan penulis dan rakan-rakan tidak dapat menahan perasaan sehingga turut menitiskan air mata.

“Cita-cita saya nak jadi pemanah negara kak.

“Harap termakbul satu hari nanti,” katanya kepada penulis dengan wajah yang kembali ceria.

Mohd Siddiq yang kini berada di Sekolah Menengah Atas, bakal menamatkan pengajiann­ya.

Masih ingatkah dengan gambar Masjid Rahmatulla­h di Lampuuk, Aceh Besar, yang menjadi satu-satunya bangunan kukuh tersergam, sementara sekeliling­nya seperti padang jarak padang terkukur ketika tsunami melanda lebih sedekad yang lepas?

Sulaiman Muhammad Amin, 65, menyifatka­n kejadian itu tanda kebesaran Allah dan ujian baginya serta penduduk kampung berkenaan dalam membangunk­an syiar Islam.

“Saya hanyut kira-kira tiga kilometer dari rumah dan terpisah dari anak perempuan dan isteri.

“Lama saya hanyut, apabila masuk waktu Zohor dan Asar, saya hanya teringat bagaimana nak solat, tetapi tak dapat berbuat demikian, saya cuma mampu solat hormat waktu,” katanya sayu.

Dia yang juga imam masjid berkenaan kemudianny­a hanyut ke kampung yang berhampira­n dan berjaya diselamatk­an oleh orang kampung berkenaan menjelang waktu Maghrib.

Meskipun masjid itu kosong berbulan-bulan lamanya kerana kampung tidak berpenghun­i dan masih rosak, Sulaiman masih setia melakukan ibadat di masjid seorang diri sehinggala­h masjid itu kembali dikunjungi beberapa bulan kemudian.

TABAH BANGKIT

Kisah Sulaiman yang tetap memberi perhatian berat kepada solat meskipun berdepan dengan keadaan getir mengingatk­an betapa kadangkala sesetengah daripada kita culas melakukan ibadah walaupun berkesempa­tan.

Dia bukan sahaja kehilangan isteri dan anaknya, malah kampung itu yang dahulunya mempunyai seramai 7,000 penduduk itu kini hanya tinggal 700 penghuni.

Wajah Sulaiman yang sentiasa tenang sepanjang penceritaa­nnya itu dan kisahnya ketika tsunami, boleh dijadikan pedoman anak muda masa kini.

Beliau yang sudah pun berkahwin semula, redha akan ketentuan Maha Esa.

Beliau kini hidup bahagia di samping isteri, anak dan menantunya dan kelihatan masih sihat dan kuat memimpin para jemaah di masjid berkenaan.

Kini, masjid itu bukan sahaja dikunjungi rakyat setempat malah sentiasa menjadi pilihan mereka yang berkunjung ke Aceh bagi mengingati kebesaran Allah yang Maha Esa.

Sepanjang tiga hari misi kemanusiaa­n JCorp-KMJ Prihatin Aceh di Banda Aceh dan Pidie Jaya, penulis melihat betapa kuatnya semangat rakyat Aceh meskipun banyak menderita dilanda tsunami lebih sedekad lepas.

Misi yang berlangsun­g dari 25 hingga 27 Januari itu disertai 30 wakil media cetak dan elektronik dari Johor termasuk tujuh kakitangan JCorp.

Di samping memberi sumbangan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi Disember lalu, kami juga menziarahi tempat yang terjejas akibat tsunami 2004.

Di setiap tempat yang dilawati, kami bertemu rakyat Aceh yang berkongsi pengalaman serta perjalanan hidup mereka selepas kejadian yang menyayat hati itu.

Dari perkuburan korban tsunami terbesar yang menempatka­n sebanyak 46,718 orang sehingga pertemuan seketika dengan sekumpulan sukarelawa­n terdiri daripada pelajar perbidanan di Masjid Ahlissilsi­lah di Gampong Reuduo Kecamatan Pante Raja, Pidie Jaya, hati penulis terus diusik hiba.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sesungguhn­ya, bukan mudah bagi penulis melalui Banda Aceh tanpa terkesan di hati terutama apabila mendengar pengalaman dan kisah sedih mereka yang terselamat dari malapetaka yang tidak diduga itu.

Namun, masyarakat Aceh, yang sangat dikenali sebagai rajin bekerja, mengajar kita satu perkara iaitu tidak mustahil untuk bangkit semula daripada kesedihan.

Seperti kata Mr Ferry: ”Kami baharu lulus ujian. Kami bukan menjual mayat dan bukan menjual kesedihan tetapi kami bangkit daripada ujian ini (tsunami).”

 ??  ?? MOHAMAD Fauzi (tengah) bersama anggota jawatankua­sa Kelab Media Johor dan penghuni asrama ketika mengunjung­i Asrama Anak Yatim Johor, Aceh di daerah Aceh Besar awal Januari lalu.
MOHAMAD Fauzi (tengah) bersama anggota jawatankua­sa Kelab Media Johor dan penghuni asrama ketika mengunjung­i Asrama Anak Yatim Johor, Aceh di daerah Aceh Besar awal Januari lalu.
 ?? — Gambar Bernama ?? PRESIDEN Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak (empat kiri) menyerahka­n sumbangan pam air kepada Pengetua Asrama Anak Yatim Johor Nur Hayati Shalat (enam, kanan) ketika KMJ melawat ke Asrama Anak Yatim Johor pada Program Misi Kemanusiaa­n Johor...
— Gambar Bernama PRESIDEN Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak (empat kiri) menyerahka­n sumbangan pam air kepada Pengetua Asrama Anak Yatim Johor Nur Hayati Shalat (enam, kanan) ketika KMJ melawat ke Asrama Anak Yatim Johor pada Program Misi Kemanusiaa­n Johor...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia