Utusan Borneo (Sabah)

Tiga Adun Bebas tidak layak cadang ketua pembangkan­g

-

MELAKA: Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka yang keluar daripada DAP dan menjadi Adun Bebas tidak layak mencadangk­an ketua pembangkan­g baharu, kata Speaker DUN Melaka Datuk Othman Mohamad.

Beliau berkata dalam Persidanga­n DUN Melaka, ketua pembangkan­g adalah daripada sebuah parti politik dan walaupun bilangan ADUN Bebas itu sama dengan Adun DAP ketika ini, Adun Bebas itu tidak mewakili mana-mana parti politik.

Katanya, seorang lagi Adun pembangkan­g iaitu Dr Md Khalid Kassim daripada Pas juga tidak layak menjadi ketua pembangkan­g walaupun tiga Adun Bebas itu menyokong pelantikan itu.

“Ketua pembangkan­g mesti daripada parti politik iaitu sama ada DAP atau Pas, sekarang DAP ada tiga wakil manakala PAS ada seorang wakil...jadi DAP lebih banyak wakil maka layak menjadi ketua pembangkan­g.

“Kelazimann­ya kita (DUN Melaka) akan terima surat daripada setiausaha agung parti menamakan ketua pembangkan­g pilihan mereka, tiga Adun Bebas itu tiada parti jadi mereka tidak layak mencadangk­an ketua pembangkan­g,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Semalam, Ketua Pembangkan­g DUN Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga Adun Ayer Keroh, berkata pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat adakah tiga Adun bebas itu akan bekerjasam­a dengan Pas untuk melantik ketua pembangkan­g baharu.

Tiga Adun yang bertindak keluar parti itu ialah Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong), manakala anggota Parlimen DAP, Sim Tong Him (Kota Melaka) turut melakukan tindakan sama.

Pada masa ini, selain Khoo, dua lagi Adun DAP di DUN Melaka ialah Tey Kok Kiew (Bandar Hilir), yang juga Pengerusi DAP Melaka, dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana).

Goh, yang sebelum ini Ketua Pembangkan­g DUN Melaka, meletak jawatan pada 8 Okt 2013 akibat pertelagah­an dalaman dan sejak sekian lama DUN Melaka bersidang tanpa ketua pembangkan­g.

Khoo dilantik ke jawatan itu pada 28 Mac tahun lepas.

Othman berharap semua Adun di negeri ini mengambil sikap profesiona­l dan bersidang dengan penuh sopan demi memastikan isu rakyat dapat dibincang dengan sebaiknya pada persidanga­n itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia