Utusan Borneo (Sabah)

Seorang wanita maut ketika cuba mengejar peragut

-

BACHOK: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang­inya terbabas sebelum terlanggar tiang elektrik ketika mengejar seorang lelaki yang meragut begnya di Kampung Pak Elong, Tangok di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad berkata Siti Rohani Wahab, 54, sedang menunggang motosikal sendirian sebelum seorang lelaki yang juga menaiki motosikal meragut beg yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa.

Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kantin Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok di sini.

“Mangsa yang terkejut begnya diragut, terus mengejar suspek dalam jarak 800 meter sebelum berjaya menghampir­i suspek namun motosikal mangsa dipercayai dihimpit suspek hingga terbabas dan melanggar tiang elektrik yang terletak di sebelah kanan jalan,” katanya kepada pemberita di sini.

Din berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan peragut terbabit.

“Saya menasihatk­an orang ramai supaya jangan mengambil tindakan sendiri sebaliknya segera menghubung­i polis sekiranya menjadi mangsa ragut kerana tindakan sebegini boleh mendatangk­an bahaya,” katanya.

Seorang saksi, Syuhada Abd Malik, 24, berkata ketika kejadian beliau sedang bersarapan di kedainya dan melihat motosikal mangsa yang dalam perjalanan dari Kampung Telong di sini, dihimpit seorang lelaki sebelum mangsa terlanggar tiang elektrik dan terjatuh.

“Saya berlari ke arah mangsa yang terbaring di atas jalan dan mendapati mangsa dalam keadaan nazak sebelum dia menghembus­kan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Nur Farah Wahida Che Hassan, 15, berkata ibunya keluar dari rumah di Telong, di sini pada pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata sudah tiga tahun ibunya bekerja di kantin tersebut dan sering menggunaka­n laluan berkenaan untuk ke tempat kerja.

“Pagi tadi saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi ibu banyak bercakap. Sebelum keluar saya sempat bersalaman dengannya dan dia keluar kerja seperti biasa dengan menggunaka­n motosikal.

“Kira-kira pukul 8.30 pagi tadi ada orang memberitah­u ibu kemalangan dan meninggal dunia selepas diragut,” katanya.

Beliau berkata bapanya, Che Hassan Che Ibrahim, 59, tiada di rumah kerana bekerja di Kuantan, Pahang dan pulang ke rumah sekali sebulan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia