Utusan Borneo (Sabah)

Standard baharu berkenaan spesifikas­i pemasangan cermin gelap ditetapkan JPJ

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Jabatan Standard Malaysia telah meluluskan sembilan Malaysian Standards (MS) baharu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata ia termasuk MS berkaitan filem penghadang haba di mana ia memberi panduan kepada pihak industri termasukla­h juga orang awam berkenaan spesifikas­i yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

“MS ini menyokong Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 di bawah JPJ untuk membantu mengawal selia dan mentadbir piawaian keselamata­n kenderaan bermotor dengan cekap serta berintegri­ti bagi memenuhi keperluan pengguna, alam sekitar serta industri automotif negara.

“Penggunaan filem penghadang haba kenderaan kini tidak lagi dilihat sebagai aksesori tambahan, malah lebih kepada keperluan oleh pemilik kenderaan untuk mengurangk­an kepanasan dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Dengan adanya standard itu, katanya, orang ramai akan lebih mudah memahami spesifikas­i yang ditetapkan oleh JPJ dan mengurangk­an kekeliruan antara penjual filem penghadang haba dengan pemilik kenderaan.

Madius berkata ia turut memberi panduan kepada individu yang membawa masuk kenderaan import ke negara khusus bagi kenderaan yang menggunaka­n cermin gelap.

Di samping itu, ia juga merangkumi kaedah pengujian yang akan digunakan oleh makmal pengujian bagi pengesahan pematuhan produk.

“Pada bulan ini, Mosti juga telah meluluskan 17 standard yang diulangkaj­i dan 121 MS sedia ada telah ditarik balik memandangk­an ia tidak lagi relevan untuk dijadikan rujukan oleh badan-badan berkepenti­ngan seperti pihak industri, badan pensijilan dan badan penguatkua­sa,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 5,211 MS yang merentasi pelbagai sektor industri yang telah dibangunka­n di bawah Mosti melalui Jabatan Standard Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia