Salah laku: Tsang dipenjara 20 bulan
Kesalahan dilakukan tatkala memegang jawatan ketua eksekutif Hong Kong 2005-2012
HONG KONG: Bekas pemimpin Hong Kong Donald Tsang dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan semalam selepas perbicaraan rasuah berprofil tinggi mendapati dia bersalah atas tuduhan salah laku ketika dia memegang tampuk di bandar raya tersebut.
Tsang, 72, yang memegang jawatan ketua eksekutif sebagai pemimpin selama tujuh tahun dari 2005, merupakan pegawai bandar raya paling kanan yang pernah didapati bersalah dalam perbicaraan jenayah dan pegawai berpangkat paling tinggi yang dimasukkan ke dalam penjara.
Perbicaraan selama enam minggu di Mahkamah Tinggi itu diadakan ketika penduduk hilang kepercayaan kepada pemimpin Hong Kong ekoran beberapa kes rasuah yang memburukkan lagi syak-wasangka berhubung kaitan di antara pegawai awam dengan tokoh perniagaan.
Tsang didapati bersalah Jumaat lepas atas tuduhan gagal mendedahkan rancangannya untuk menyewa sebuah flat mewah daripada seorang pelabur penting dalam sebuah badan penyiaran, yang kemudian diberi lesen oleh kerajaan ketika dia menjadi pemimpin.
“Saya tidak pernah melihat seorang lelaki jatuh begitu tinggi dalam karier kehakiman saya,” kata Hakim Andrew Chan ketika menjatuhkan hukuman.
Khidmat Tsang selama empat dekad kepada Hong Kong “tidak dapat dipertikaikan” tetapi pecah amanah yang dia lakukan adalah “signifikan”, kata Chan kepada mahkamah yang penuh dengan pemberita dan saudara-mara Tsang.
Dia “sengaja menyembunyikan” urusan dan rundingannya, kata hakim itu.
Bekas pemimpin itu digambar memakai penutup muka bedah, tali leher kupu-kupu yang sinonim dengannya, dan kekangan tangan ketika dia diiringi ke sebuah van penjara sebelum perbicaraan.
Dia ditahan reman Isnin lepas sebelum hukuman dijatuhkan tetapi dimasukkan ke hospital pada malam yang sama selepas dia dipercayai mengalami kesukaran untuk bernafas.
Tsang dilepaskan daripada satu lagi tuduhan salah laku yang mendakwa dia gagal untuk mengisytiharkan bahawa seorang arkitek yang dia cadangkan bagi satu anugerah kerajaan pernah bekerja sebagai pereka hiasan dalaman di flat terbabit.
Bagaimanapun juri tidak dapat mencapai keputusan berhubung satu tuduhan rasuah yang mendakwa dia telah menerima hiasan semula di pangsapuri itu sebagai habuan.
Perbicaraan semula bagi tuduhan itu dijadualkan pada September.
Keluarga Tsang, termasuk dua anak lelaki dan isterinya, kelihatan sedih ketika mereka meninggalkan bangunan mahkamah.
“Hari ini adalah hari yang sangat gelap. Keluarga saya dan saya rasa sangat kecewa dan sedih dengan keputusan oleh mahkamah pada hari ini,” kata isterinya, Selina, yang bergandingan tangan dengan dua anak lelakinya, kepada pemberita.
“Kami akan merayu,” tambahnya.
Tsang sebelum ini berkata dia “sangat yakin” dia akan dibebaskan daripada tuduhan.
Namun pendakwa raya menyifatkan kelakuannya sebagai penyalahgunaan kuasa untuk melanjutkan kepentingan diri sendiri.
Pada 2012, dia memohon maaf berhubung dakwaan berasingan bahawa dia telah menerima hadiah yang tidak wajar daripada rakan-rakan perniagaan dalam bentuk lawatan dengan menaiki kapal layar mewah dan jet persendirian.
Bekas timbalannya Rafael Hui dipenjara selama tujuh setengah tahun pada 2014 setelah didapati bersalah menerima rasuah daripada taikun hartanah Hong Kong, Thomas Kwok.
Pemimpin Hong Kong sekarang yang tidak popular, Leung Chun-ying, turut menghadapi dakwaan rasuah kerana dilaporkan menerima bayaran sebanyak HK$50 juta (RM29.3 juta) daripada syarikat kejuruteraan dari Australia, UGL, sebelum dia memegang jawatan.
Leung akan berundur sebagai ketua eksekutif pada Julai – penggantinya akan dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing yang mewakili kumpulan kepentingan khas pada Mac nanti. — AFP