Pencarian Miss Grand Sabah 2017 bermula
KOTA KINABALU: Satu sesi uji bakat terbuka akan diadakan dalam usaha mencari personaliti yang berkelayakan dalam bidang peragaan, melalui pertandingan Miss Grand Sabah 2017, hujung minggu ini.
Menurut jurucakap penganjur, Severinus A Nain, (gambar) tujuan utama penganjuran acara itu adalah bagi mencari wakil terbaik dari Sabah untuk bertanding dalam Miss Grand Malaysia 2017, selain dapat mencungkil bakat baharu khususnya dalam bidang peragaan di negeri ini agar dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Peserta yang berkelayakan juga berpeluang mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2017 sekiranya menang nanti,” katanya yang juga pengarah program berkenaan.
Miss Grand Sabah 2017 membuka peluang kepada gadis-gadis warganegara Malaysia bermaustatin di negeri Sabah yang berminat, berumur dalam lingkungan 18 hingga 27 tahun, memiliki ketinggian minima 163cm dan berstatus bujang.
“Miss Grand Sabah turut menitikberatkan kriteria seperti seorang yang berkeyakinan, memiliki personaliti menarik dan mestilah seorang yang nonmuslim semasa sesi pemilihan itu nanti.
“Peserta turut berpeluang memenangi hadiah yang nilainya mencecah RM30,000 secara keseluruhannya selain akan menjadi wakil rasmi negeri Sabah dalam pertandingan yang sama di peringkat nasional nanti,” katanya.
Severinusmempelawasemua gadis Sabah yang memiliki kelayakan mengikut syarat dan terma serta memiliki kriteria yang ditetapkan oleh penganjur supaya hadir ke sesi uji bakat itu nanti.
Uji bakat itu akan diadakan pada 25 Februari ini bertempat di Tingkat 1, Sky Hotel, Kota Kinabalu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Yuran penyertaan adalah RM50.