Padang awam Putatan perlu diselenggara
PUTATAN: Padang awam di daerah ini yang terletak berhampiran Kompleks Belia dan Sukan, Dewan Sri Putatan yang baharu serta pejabat Majlis Daerah Putatan, tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.
Padang yang mempunyai astaka berbumbung ini digunakan oleh orang awam untuk bersukan seperti bola sepak dan ragbi pada setiap petang.
Namun begitu, keadaan fizikal padang ini sangat tidak kondusif kepada pengguna. Rumput terlalu panjang di sebahagian besar kawasan padang, manakala sebahagian besar kawasan padang pula tidak berumput di mana apabila musim hujan, ia akan menjadi becak dan berlopak.
Selain itu, kebersihan di kawasan astaka dan tepi padang pula tidak terurus, sampah seperti botol minuman, bungkusan makanan dan puntung rokok bersepah di kawasan berkenaan.
Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan landskap daerah Putatan walaupun semakin banyak diadakan usaha pembangunan di kawasan sekitarnya.
Di samping itu, keadaan ini juga memberi kesan kepada penganjuran kejohanan sukan, khususnya oleh sekolah-sekolah di daerah ini. Begitu juga dengan sukan lain seperti bola sepak yang memerlukan fasiliti lengkap.
Oleh demikian, pihak Parti Islam SeMalaysia (Pas) Kawasan Putatan sangat mengharapkan pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas masalah berkenaan.
Ia bukan sahaja untuk kebaikan orang awam khususnya para belia sebagai pengguna, tetapi juga bagi menambahbaik kualiti fasiliti awam yang dapat memberikan imej baik kepada daerah ini.
Selain meminta agar tindakan yang segera diambil untuk menambahbaik kualiti fizikal padang, Pas Kawasan Putatan juga memberi saranan agar aspek pengurusan dan pengelolaan penggunaan fasiliti awam itu juga ditambah baik, seperti rekod penggunaan, melaksanakan penyelenggaraan berkala serta melakukan langkah penjagaan fasiliti awam itu secara berterusan.