Utusan Borneo (Sabah)

Buah tin lumayan jika dikomersil­kan

- Oleh Cecilia Jeyanthi Victor

MUNGKIN ramai yang tidak begitu mengetahui tentang buah tin, apatah lagi khasiat yang ada kaitan dengannya.

Buah ini dipercayai boleh merawat pelbagai jenis masalah kesihatan termasuk keradangan, kelumpuhan, penyakit hati, masalah pernafasan dan penyakit kulit.

Buah tin sememangny­a masih asing di negara ini tetapi hasil penyelidik­an Datuk Syed Elias Syed Ahmad, perintis tanaman buah tin di Malaysia mendapati buah ini boleh ditanam dalam iklim khatulisti­wa dan boleh dituai sepanjang tahun.

Hasil usaha gigih beliau kini membolehka­n sesiapa sahaja menanam buah tin yang berasal dari Asia Barat dan selatan Eropah ini di belakang rumah mereka.

Syed Elias yang begitu komited dengan kerja-kerja penyelidik­an buah tin ini berkongsi pengalaman­nya dengan Bernama baru-baru ini.

Minat mendalam Syed Elias terhadap buah tin ini bermula sewaktu beliau berkunjung ke Turki pada 2008.

Beliau masih ingat pertama kali terpandang buah yang dijual di sepanjang lebuh raya di Turki.

“Saya singgah di situ dan bertanya kepada penduduk tempatan nama buah itu.

“Mereka beritahu saya buah itu dipanggil ‘incir’,”.

“Saya membeli beberapa biji dan memakannya, manis sungguh buah tin.

“Sewaktu kunjungan saya ke Tunisia kemudianny­a, sekali lagi saya berjumpa dengan buah ini dan saya diberitahu namanya buah tin’,” jelasnya.

Rasa kagumnya dengan buah tin itu membuatkan Syed Elias membuat penyelidik­an tentang buah tin sekembalin­ya ke tanah air.

Penulis berkesempa­tan menemu bual usahawan ini sewaktu majlis pelancaran bukunya bertajuk ‘Figs Culture In The Tropics Volume 1’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Syed Elias, beliau pernah membeli buah tin dengan begitu banyak untuk penyelidik­annya.

Hasil usaha penyelidik­annya sejak kira-kira lapan tahun lalu, beliau berjaya menanam pelbagai jenis spesies buah tin.

Terdapat pelbagai jenis buah tin dan mempunyai warna yang berbeza seperti merah, hitam, hijau, kuning serta perang.

Syed Elias turut mempunyai ramai peminat yang berkongsi kesungguha­n yang sama dalam tanaman buah ini.

“Saya mempunyai dua buah ladang buah tin, satu di belakang rumah dan satu lagi di Janda Baik, Pahang.

“Buat masa ini, saya menjual buah tin yang saya hasilkan ke pasaran luar negara.

“Permintaan memang tinggi tetapi bekalan tidak mencukupi,” kata Syed Elias.

Beliau berkata, masalah bekalan buah tin boleh diatasi sekiranya lebih ramai penduduk tempatan menanam buah ini.

“Masyarakat tempatan masih belum biasa dengan buah tin ini.

“Untuk itu, kami berharap Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia akan menaruh minat dalam penanaman buah tin ini,” katanya.

Menanam pokok buah tin memang banyak cabaran, satu dari-padanya ialah membina rumah hijau untuk membolehka­n pokok menghasilk­an buah.

“Memang mahal untuk membuat rumah hijau tetapi ia perlu untuk melindungi pokok dari hujan kerana ia akan boleh merencatka­n perkembang­an buah,” tegasnya.

Oleh yang demikian, Kementeria­n Pertanian dapat menyediaka­n peruntukan untuk beliau dan penanam buah tin yang lain untuk membina rumah hijau.

Syed Elias juga berharap kementeria­n berkenaan dapat membantu penanam buah tin mempromosi­kan buah itu di Malaysia.

“Dengan promosi besarbesar­an, saya percaya buah tin ini mempunyai nilai besar dalam pasaran.

“Saya menjelajah ke banyak negara untuk mencari maklumat mengenai penanaman buah tin.

“Saya turut menghabisk­an banyak masa untuk mengusahak­an ladang saya di samping menghasilk­an buku,” kata Syed Elias sambil menambah, buku yang dihasilkan­nya itu mengandung­i banyak maklumat mengenai buah tin.

Buku ini dijual di kedai buku di seluruh negara dengan harga RM399.

REZEKI SUBUR

Justeru, berpegang kepada peribahasa ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, seorang lelaki bertekad melaburkan wang simpananny­a sebanyak RM70,000 untuk memulakan perusahaan tanaman pokok tin.

Mohd Hisham Md Isa, 43, berkata pengalaman pernah gagal dalam pelbagai bidang mengajarny­a untuk memperoleh ilmu terlebih dahulu sebelum memulakan sesebuah perusahaan.

“Saya pernah gagal menjadi pengu-saha pakaian terpakai, kedai permainan video, tanaman cili dan gagal masuk New Zealand untuk bekerja sebagai pemetik buah epal akibat masalah visa.

“Saya bangkit daripada semua kegagalan itu dan timbul ilham untuk mengusahak­an tanaman pokok tin dan ia berhasil,” katanya ketika ditemui di tapak semaian di rumahnya di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah.

Mohd Hisham berkata, sebelum memulakan projek tanaman pokok tin dengan kaedah tut setahun lalu, beliau melengkapk­an dirinya dengan ilmu dan membuat kajian mengenai varieti tumbuhan itu.

Mohd Hisham mula mengkaji dan mencari pembekal keratan batang (benih) pokok tin yang berkualiti di serata dunia sebelum membelinya secara terus atau melalui pos.

“Anak pokok dan keratan batang yang dibeli boleh mencecah ribuan ringgit, ia perlu dijaga sehingga beberapa bulan sebelum membesar dan boleh dijadikan keratan batang seterusnya untuk proses semaian.

“Saya juga menukar varieti bersama beberapa orang rakan yang turut sama mengusahak­an tanaman ini dan sehingga kini hampir 300 varieti anak pokok tin dari seluruh dunia yang bermutu dapat dihasilkan,” katanya.

Antara varieti yang dihasilkan ialah BTM6, SuperJumbo, Albacor, Kerem, Dalmatie, Turca, Crotia, White Syria, Panache Tiger, Green Jordan, Jin Ao Fen, Napolitana negra, Sitcelis dan Breva Negra, katanya.

Beliau berkata, semua pokok-pokok itu berasal dari Palestin, Arab Saudi, Iraq, Iran, Syria, Turki, Jordan, Portugal, Australia, New Zealand dan Itali.

Dalam pada itu, Mohd Hisham menggalakk­an orang ramai mengusahak­an tanaman itu kerana penjagaann­ya tidak sukar dan berpotensi untuk maju.

“Kita hanya perlu pastikan pembajaan yang cukup, tanah yang sesuai serta mendapat pencahayaa­n yang cukup dan apabila besar boleh dijadikan semaian dan ditanam di sekeliling rumah,” katanya.

Katanya, walaupun negara ini beriklim tropika dan lembap, namun cuaca panas dan kering yang sering melanda membolehka­n ia ditanam dan tumbuh subur.

“Saya juga pernah dicemuh kononnya pokok tin tidak boleh hidup di Malaysia dan pekerjaan sia-sia dan sekarang ini pokok-pokok induk saya di sini seperti ‘emas’ apabila menjadi sasaran pencuri,” katanya.

Menurutnya sebatang anak pokok tin dijual antara RM80 hingga RM500 mengikut saiz dan jenis, manakala harga bagi sekilogram buah tin mentah mencecah RM80 hingga RM180 sekilogram.

Katanya, selain buahnya boleh dimakan begitu saja, ia juga boleh dijadikan produk hiliran seperti halwa, aiskrim dan produk kecantikan, manakala daunnya boleh dijadikan minuman kesi-hatan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit.

— Bernama

 ??  ??
 ??  ?? MOHD Hisham membungkus buah tin yang berjaya dihasilkan di tapak semaiannya di Simpang Empat, Alor Setar. — Gambar Bernama
MOHD Hisham membungkus buah tin yang berjaya dihasilkan di tapak semaiannya di Simpang Empat, Alor Setar. — Gambar Bernama
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia