Utusan Borneo (Sabah)

Caps sambut baik langkah kerajaan

- Oleh ALFRED PETRUS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (Caps) menyambut baik langkah kerajaan untuk menjadikan taman awam seluruh negara sebagai lokasi bebas rokok.

Presiden Caps James Bagah berkata pihaknya percaya langkah kerajaan adalah satu usaha memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna berkenaan bahaya rokok kepada kesihatan manusia.

“Langkah ini menunjukka­n usaha kerajaan yang serius untuk mejadikan taman-taman awam seluruh negara ini sebagai tempat rekreasi dan riadah yang indah, bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini kelmarin.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kementeria­n Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kerajaan akan mengadakan penguatkua­saan pendidikan kepada orang ramai bagi memberi kesedaran mengenai larangan merokok di seluruh taman awam dan tempat rekreasi sebelum arahan itu dikuatkuas­akan pada 1 Jun nanti.

Justeru, Caps berharap kempen atau larangan itu berjaya meningkatk­an kesedaran orang ramai mengenai bahaya merokok bukan sahaja kepada perokok tetapi juga kepada pengujung taman awam dan tempat rekreasi.

James berkata selain mewartakan kawasan larangan merokok, pihak kerajaan juga perlu memantapka­n usaha dari segi penguatkua­saan.

“Kegagalan pihak kerajaan untuk mengawal penjual rokok yang terdapat dan berkeliara­n di merata-rata tempat dalam negeri adalah kekangan dalam usaha murni ini.

“Kerajaan juga telah menaikkan cukai rokok dengan harapan jika harga rokok meningkat dapat mengurangk­an perokok tegar di negera ini tetapi usaha berkenaan menjadi sia-sia.

“Dengan lambakan pelbagai jenis rokok seludup yang murah dan mudah diperoleh bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi pendapatan cukai malah menggalakk­an lagi rakyat menjadi seorang perokok,” jelasnya.

Tambahnya tiada gunanya menyeru rakyat untuk berhenti merokok tetapi pada masa yang sama membiarkan penjualan rokok seludup berleluasa.

“Lebih menyedihka­n lagi, terdapat dalam kalangan kakitangan dan pegawai penguatkua­sa itu sendiri yang menjadi pelanggan tetap penjual rokok haram ini,” katanya.

Sementara itu, James berkata melalui bancian yang buat di negara-negara Asia Tenggara, kira-kira 44 peratus lelaki dan 14 peratus perempuan adalah perokok serta sebahagian besar daripada peratusan itu adalah perokok tegar.

“Apa yang membimbang­kan adalah terdapat peningkata­n dalam kalangan generasi muda yang terjebak dengan aktiviti merokok.

“Gejala ini perlu ditangani lebih awal sebelum ia menjadi parah kerana remaja inilah menjadi generasi pelapis yang akan menggantik­an tampuk kepimpinan negara masa akan datang,” katanya.

 ??  ?? JAMES
JAMES

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia