Utusan Borneo (Sabah)

Jeritan jiran selamatkan wanita, tiga cucunya Kediaman Piot musnah dalam kebakaran di Kampung Pinang Jawa, Kuching

-

“Pada mulanya ketika terhidu bau asap, saya menyangka orang sedang memasak. Hanya selepas ternampak asap hitam dan terdengar jeritan jiran menyuruh kami menyelamat­kan diri saya ” menyedari rumah sedang mengalami kebakaran. PIOT HAMDEN Mangsa kebakaran

KUCHING: Jeritan jiran berjaya menyelamat­kan seorang wanita dan tiga cucunya daripada maut apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pinang Jawa di sini, pada Isnin.

Menurut Piot Hamden, 53, ketika kejadian dia sedang menidurkan cucunya yang berusia setahun dalam buaian manakala dua lagi cucunya yang masingmasi­ng berumur lima tahun dan enam tahun sedang tidur di bilik berasingan di tingkat atas.

“Pada mulanya ketika terhidu bau asap, saya menyangka orang sedang memasak. Hanya selepas ternampak asap hitam dan terdengar jeritan jiran menyuruh kami menyelamat­kan diri saya menyedari rumah sedang mengalami kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Isnin.

Piot berkata, dia tidak sempat menyelamat­kan barang atau dokumen penting kerana memfokuska­n keselamata­n cucu-cucunya.

“Kami terpaksa menggunaka­n pintu dapur untuk keluar kerana api sudah marak di bahagian hadapan,” katanya.

Difahamkan, adik Piot yang turut berada di rumah tersebut bersama dua lagi ahli keluarga telah berjaya menyelamat­kan diri.

Rumah separuh kekal yang berusia lebih separuh abad itu didiami dua buah keluarga yang terdiri daripada 13 penghuni.

Kebakaran sekitar jam 2 petang itu turut menjejaska­n tiga kenderaan termasuk kenderaan jenis pikap serta tiga motosikal.

Sementara itu, jiran mangsa, Wan Teridi Wan Ali, 62, berkata dia sedang berada di bahagian dapur apabila terhidu bau asap.

Mengesyaki sesuatu tidak kena, dia kemudianny­a menjenguk dari tingkap dan ternampak kain-kain jemuran jirannya di bahagian beranda terbakar.

“Saya pun memanggil orang di dalam rumah sambil menjerit ‘Piot! Piot! rumah dah hangus (terbakar) bawa cucu-cucu turun!” katanya.

Katanya dia terus menyuruh anaknya menghubung­i Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk meminta bantuan sebelum mengambil hos air untuk memadamkan kebakaran namun tidak berjaya apabila api terus marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, pasukan dengan kekuatan 23 orang bergegas ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang.

BBP Petra Jaya turut dibantu BBP Padungan dan BBP Batu Lintang.

“Semasa tiba di tempat kejadian, kami dapati rumah terbakar hampir 100 peratus. Kami berjaya memadam kebakaran dan mengelak api merebak ke rumah-rumah bersebelah­an,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran dihadapi termasuk cuaca panas serta jalan sesak dengan penduduk yang menyukarka­n bomba sampai dengan pantas.

“Setakat ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti, masih menunggu laporan forensik bomba,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman turut ke lokasi.

Dalam kes berasingan, sebuah keluarga hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka di Kampung Lintang musnah dalam kebakaran, malam Ahad lepas.

Pasukan bomba daripada BBP Padungan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8.45 untuk memadamkan kebakaran.

Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia