Utusan Borneo (Sabah)

Kemenangan berganda Ying-Ying pada hari pertama Terbuka Malaysia ALYA WTA

-

KUALA LUMPUR: Duan Ying-Ying dari China memulakan kempen pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia ALYA WTA 2017 penuh bergaya apabila memenangi acara perseorang­an dan beregu kelmarin, biarpun perlawanan terpaksa ditangguhk­an selama dua jam ekoran hujan.

Pada perlawanan pertama berlangsun­g di TPC Kuala Lumpur itu, pemain berusia 27 tahun itu yang baru pulih daripada sakit yang lama, menewaskan pemain Kazakhstan, Zarina Diyas 7-5, 6-3 dalam aksi berlarutan selama satu jam 15 minit.

Kejayaan tersebut juga menyaksika­n pemain China itu mengatasi pemain Kazakhstan berkenaan dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada beliau, selepas mencatat satu kemenangan, dan satu kalah pada kejohanan di Jepun pada 2013.

Pemain pilihan kelima kejohanan itu kemudian berpasanga­n dengan rakan senegara, Han Xinyun untuk mengalahka­n Chang Kai-Chen dari Taiwan yang berganding­an dengan seorang lagi pemain China, Wang Qiang 6-3, 6-4.

“Ini perlawanan pertama saya selepas pulih daripada sakit...jadi saya rasa saya bermain dengan baik walaupun lawan saya hari ini adalah pemain yang mendapat ‘wildcard’.

“Beliau berjaya mematahkan pukulan saya, dan saya ketinggala­n 2-4 pada set pertama, namun saya masih tenang di gelanggang dan kembali mendapat rentak. Secara keseluruha­n, prestasi saya hari ini sangat baik,” katanya selepas perlawanan.

Ying-Ying, yang tidak pernah melepasi pusingan kedua acara perseorang­an pada Terbuka Malaysia sejak membuat penampilan sulung pada 2013, berharap dapat memecahkan badi tersebut kali ini, apabila dijangka berdepan Sara Sorribes Tormo dari Sepanyol pada pusingan kedua, lawan yang pernah dua kali beliau tewaskan di China, sebelum ini.

Pemain ranking ke-103 dunia, Sorribes Tormo meraih kemenangan pertama musim ini selepas menumpaska­n rakan senegara Silvia Soler Espinosa 6-3, 7-6 (7-2) dalam satu lagi aksi pusingan pertama, kelmarin.

“Saya rasa ia perlawanan yang sukar...bermain menentang rakan sentiasa sukar. Saya bermula dengan baik, set kedua saya mendahului 5-1 tetapi tidak dapat menamatkan permainan... jadi, saya mula bermain secara agresif dan berjaya memenangi perlawanan.

“Apa pun saya gembira beraksi di kejohanan ini dan berharap dapat mencatat keputusan yang sama di pusingan seterusnya,” kata beliau.

Sementara itu, kejutan paling besar pada kejohanan itu adalah menerusi pemain ranking ke-195 dunia, Lesley Kerkhove dari Belanda, yang menewaskan pilihan ketujuh Elise Mertens dari Belgium 6-4, 7-6 (4).

Hari ini, pilihan utama Elina Svitolina dari Ukraine akan memulakan kempen dalam usahanya menjadi pemain pertama mempertaha­nkan kejuaraan itu, menentang pemain dari pusingan kelayakan, Jang Su Jeong dari Korea Selatan, manakala pilihan kedua Carla Suarez Navarro dari Sepanyol berdepan pemain Jepun, Miyu Kato, masing-masing di pusingan pertama.

Pemain Malaysia yang beraksi menerusi penyertaan ‘wildcard’, Jawairiah Noordin akan berganding­an dengan Jessy Rompies dari Indonesia, untuk berdepan pasangan Elise Mertens (BEL) dan Ipek Soylu (TUR) dalam acara beregu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia