Utusan Borneo (Sabah)

Dua wanita didakwa menipu urus pinjaman: Kes disebut semula 26 April

-

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan pada 26 April depan untuk sebutan semula kes terhadap dua suri rumah yang didakwa menipu, melibatkan pengurusan pinjaman wang dengan bank.

Majistret Stephanie Sherron Abbie membuat keputusan itu terhadap Lelly@Lily Raspin, 43, dan Nursiah Asil@ Rasit, 36, sementara menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwara­ya.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dituduh menipu Mohd Noor Affendi, 29, boleh menguruska­n pinjaman wang sebanyak RM90,000 dengan bank.

Akibat terpedaya, mangsa memasukkan wang tunai berjumlah RM2,500 ke dalam akaun Nursiah, pada 25 November tahun lalu jam 5.55 petang, di mesin ATM Maybank cawangan Putatan.

Pada hari sama jam 1.56 petang di Maybank cawangan Lintas, di sini, mereka menipu Nicholas Sylevester Basayu, 29, atas tujuan sama melibatkan pinjaman sebanyak RM100,000.

Mangsa memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun milik Nursiah, yang mana tidak akan dilakukann­ya sekiranya diperdayak­an.

Sekiranya disabitkan atas kesalahan itu, mereka boleh dikenakan penjara minimum setahun dan maksimum sepuluh tahun, atau boleh dikenakan sebat atau denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp James Paran memaklumka­n kepada mahkamah, kedua-dua pengadu sudah membuat laporan polis untuk menarik kes berkenaan.

Oleh itu, beliau memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi menunggu arahan daripada pejabat pendakwaan.

Lelly dan Nursiah mula didakwa pada 30 Mac tahun lalu dan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Sementara menunggu kes berkenaan selesai, mahkamah membenarka­n mereka diikat jamin sebanyak RM3,500 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia