Utusan Borneo (Sabah)

Polis Sarawak terus menggempur setiap bentuk perjudian haram

-

KUCHING: Polis Sarawak terus menggempur setiap bentuk perjudian haram di negeri ini, khususnya dalam penjualan tiket loteri tanpa lesen (4D) haram menerusi 26 serbuan dalam tempoh 10 hingga 16 April lalu.

Dalam 26 serbuan di seluruh negeri itu, seramai 46 individu yang berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 57 tahun ditangkap, dengan 24 orang daripada jumlah itu merupakan wanita manakala selebihnya lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sebanyak 21 daripada serbuan dijalankan adalah terhadap 4D haram di mana kawasan tumpuan adalah Kuching yang merekodkan 12 serbuan dan Padawan lima serbuan.

“Dua puluh satu serbuan terhadap 4D haram membawa kepada penangkapa­n 29 individu dan rampasan wang tunai berjumlah RM4,338,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Dev berkata, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator dan alat tulis. Selain 4D haram katanya, empat serbuan dilakukan terhadap judi siber di Miri yang membawa kepada penangkapa­n 11 individu dan rampasan 52 komputer digunakan untuk judi atas talian.

Serbuan turut dijalankan di kaki lima sebuah kedai kopi di Kuching dengan enam individu ditangkap kerana membuat pertaruhan haram di luar padang katanya, sambil menambah, polis turut merampas telefon bimbit, jadual perlumbaan kuda dan slip pertaruhan.

Secara keseluruha­n katanya, 12 serbuan dijalankan di tempat awam khasnya di kaki lima manakala lapan lagi di rumah kedai, empat di kedai kopi dan dua serbuan di kedai runcit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia