Utusan Borneo (Sabah)

Delegasi M’sia lawat China untuk belajar program tenaga nuklear

-

BEIJING: Seramai 19 delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, berada dalam lawatan kerja selama lima hari ke China bagi mempelajar­i infrastruk­tur program tenaga nuklear atas jemputan China Nuclear Society (CMS).

Delegasi itu terdiri daripada pihak-pihak berkepenti­ngan dan wakil agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC), Suruhanjay­a Tenaga, Agensi Inovasi Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Agensi Nuklear Malaysia, ahli-ahli akademik dan eksekutif-eksekutif Kanan Tenaga Nasional Bhd.

Menurut Nancy, walaupun Malaysia masih belum mahu menggunaka­n tenaga nuklear, lawatan ini adalah penting bagi menyediaka­n negara dan mendapatka­n seberapa banyak maklumat mengenai industri tersebut.

Tenaga nuklear adalah isu yang sensitif dan kompleks yang memerlukan pemahaman yang mendalam, lawatan ini bertujuan mendapatka­n pendedahan langsung.

“Kita perlu bersedia (sebelum membuat sebarang keputusan). Peranan utama sekarang ini adalah untuk mendidik. Pemahaman tentang nuklear masih lagi kurang tetapi ramai orang sudah menunjukka­n minat. Malah di Parlimen, soalan mengenai kuasa nuklear telah ditanyakan, ini satu petanda yang baik,” katanya kepada Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC Datuk Dr Mohd Zamzam Jaafar berkata lawatan itu akan membolehka­n pihak yang berkepenti­ngan untuk melihat sendiri bukan sahaja infratrukt­ur program nuklear China seperti loji-loji janakuasa (NPP) yang beroperasi dan yang sedang dibina tetapi juga untuk mengkaji pelaksanaa­n program komunikasi­nya.

“China mempunyai negara yang paling banyak loji kuasa nuklear yang sedang dalam pembinaan. Mereka sudah bermula sejak dari awal tahun 80-an, mereka belajar dari semua pihak seperti Rusia, Perancis, Kanada dan Amerika Syarikat. China juga telah menaik taraf teknologi mereka selepas tragedi Fukushima,” katanya.

Sebelum ini, China merupakan pembeli loji kuasa nuklear, tetapi sekarang ia sudah mempunyai kepakaran teknologi dan objektif utamanya adalah untuk membina kekuatan sendiri dalam kuasa nuklear tanpa perlu pergantung­an dari luar.

Menurut Persatuan Nuklear dunia, China telah pun mempunyai 36 NPP yang sedang beroperasi, 21 masih di bawah pembinaan dan lebih banyak lagi loji yang akan dibina.

Penggunaan nuklear di China menjadi semakin meningkat disebabkan oleh pencemaran udara dari lojiloji yang berasaskan arang batu.

Sementara itu, delegasi Malaysia dijangka akan melawat China Nuclear Power Engineerin­g Cooperatio­n (CNPE) di Beijing, Pangkalan Kuasa Nuklear Qishan di Qishan, kira-kira 100 km dari Shanghai dan Shanghai Elektric Group Co. Ltd. — Bernama

 ??  ?? — Gambar Bernama SERAMAI 19 delegasi Malaysia yang diketuai oleh Nancy mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke China bagi mempelajar­i infrastruk­tur program tenaga nuklear atas jemputan China Nuclear Society (CMS) di Beijing, kelmarin.
— Gambar Bernama SERAMAI 19 delegasi Malaysia yang diketuai oleh Nancy mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke China bagi mempelajar­i infrastruk­tur program tenaga nuklear atas jemputan China Nuclear Society (CMS) di Beijing, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia