Utusan Borneo (Sabah)

Enam maut, 25 cedera ditimpa kren di limbungan

-

SEOUL: Sekurang kurangnya enam pekerja Samsung yang membina sebuah pelantar lautan bernilai AS$500 juta (RM2.25 bilion) untuk syarikat tenaga gergasi dari Perancis, Total, maut dalam satu nahas kren limbungan kapal, kata pihak berkuasa Korea Selatan semalam.

Dua kren berlanggar di limbungan kapal di pelabuhan tenggara Geoje, menyebabka­n satu bahagian kren setinggi 60 meter dan seberat 32 tan patah lalu terhempas ke atas kawasan rehat pekerja di bawah.

Enam maut dan 25 cedera dalam huru-hara yang tercetus kelmarin, kata polis.

Kesemua mereka yang terlibat bekerja untuk projek Total tersebut, yang ditempah pada Disember 2012 dan bakal ditempatka­n di medannya di Martin Linge, perairan Norway.

Limbungan kapal berkenaan diusahakan oleh Samsung Heavy Industries, sebahagian daripada Samsung Group, konglomera­t terbesar di Korea Selatan

Park Dae-young, presiden Samsung Heavy Industries berkata, beliau memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mereka, selain berjanji akan memberi sokongan penuh kepada mangsa yang terjejas.

“Kami akan menyiasat dengan teliti punca kemalangan ini dan bertanggun­gjawab ke atasnya,” kata Park dalam kenyataan yang dibacakan oleh Kim Hyo-seop, pengarah limbungan Geoje, yang tunduk lama di depan kamera televisyen.

Syarikat tersebut percaya kemalangan tersebut adalah akibat masalah komunikasi di antara pemandu kren dan pekerja isyarat, namun punca sebenar masih disiasat.

Pemandu kren di limbungan itu bergantung kepada ‘walkie-talkie’ untuk menerima arahan.

Agensi berita Yonhap memetik seorang pegawai syarikat sebagai berkata mereka tidak pernah mengalami nahas sedahsyat itu sejak beberapa tahun.

Ia merupakan tamparan terbaharu kepada empayar korporat berkenaan, di mana pewarisnya kini sedang dibicara atas tuduhan rasuah yang ada kaitan dengan skandal yang menjatuhka­n presiden Park Geun-hye.

Seorang jurucakap Samsung Heavy Industries memberitah­u, projek Total itu yang dijadual dihantar menjelang pertengaha­n Jun, mungkin tertangguh lagi.

Polis berkata, 12 pemandu kren sedang disiasat tatkala mereka meneliti potensi berlakunya kesilapan operasi atau pelanggara­n peraturan keselamata­n.

Sementara itu, dalam perkembang­an terbaharu, China semalam menyeru penggantun­gan serta-merta sistem pertahanan misil yang kontrovers­i hanya beberapa jam selepas Washington mengesahka­n perisai tersebut kini beroperasi sepenuhnya di Korea Selatan.

“Kedudukan China adalah tegas dan jelas. Kami menentang pengerahan sistem THAAD di Korea Selatan dan menggesa pihak-pihak yang relevan untuk menghentik­an serta-merta pengerahan­nya.

“Kami dengan tegas akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menegakkan kepentinga­n kami,” menurut jurucakap kementeria­n luar Geng Shuang pada sesi taklimat harian media.

Washington dan Seoul mempersetu­jui pengerahan Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) pada Julai tahun lepas.

 ??  ??
 ?? — Gambar Reuters ?? KREN yang rosak menimpa kawasan rehat pekerja di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, kelmarin.
— Gambar Reuters KREN yang rosak menimpa kawasan rehat pekerja di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia