Utusan Borneo (Sabah)

Imigresen ambil alih PTS di Sabah

Kerajaan pusat dan negeri sudah bersetuju secara prinsip

-

“Akan melibatkan jumlah pegawai dan anggota yang ramai iaitu kira-kira 500 kakitangan bagi menguruska­n kesemua empat PTS di negeri ini iaitu di Menggatal, Papar, Tawau dan Sandakan."

DATUK MUSTAFAR ALI

Ketua Pengarah Imigresen

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen dijangka mengambil alih penyeliaan semua pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah daripada Majlis Keselamata­n Negara (MKN), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafar Ali.

Katanya, kerajaan pusat dan negeri telah bersetuju dengan perkara itu secara prinsip ketika Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang dipengerus­ikan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di sini pada 17 April lalu.

“Dalam beberapa operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kita adakan di Sabah, ia sentiasa dijalankan secara bersepadu dengan agensi berkaitan seperti MKN, polis, pihak berkuasa tempatan dan juga Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila kita menggemble­ng usaha (operasi bersepadu) ini, ia merupakan tindakan bersepadu yang ditadbirka­n oleh Akta Imigresen 1959/63, baik penangkapa­n kerana salah guna pas lawatan atau tiada dokumen perjalanan yang sah, mahupun pengusiran (PATI ke negara asal),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang 2016 Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan di sini.

Justeru, Mustafar berkata perkara berkaitan Akta Imigresen, termasuk PTS, sesuai diselia oleh Jabatan Imigresen.

Bagi melaksanak­an peralihan penyeliaan PTS itu, beliau berkata ia akan melibatkan jumlah pegawai dan anggota yang ramai iaitu kira-kira 500 kakitangan bagi menguruska­n kesemua empat PTS di negeri ini iaitu di Menggatal, Papar, Tawau dan Sandakan.

Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Suruhanjay­a Perkhidmat­an Awam (SPA) bagi menentukan peralihan kakitangan MKN di PTS berkenaan ke Jabatan Imigresen.

Mengenai operasi terhadap PATI, beliau berkata pelaksanaa­nnya akan terus dibuat secara bersepadu.

Terdahulu, Pengarah Imigresen Negeri Musa Sulaiman berkata sebanyak 2,288 operasi dijalankan sepanjang tahun lepas dan lebih 10,000 PATI ditahan.

Menurutnya, faktor utama kehadiran PATI di negeri ini ialah melalui penyeludup­an dan bagi menangani masalah itu, kerjasama agensi berkaitan dalam operasi secara bersepadu diperlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia