Utusan Borneo (Sabah)

IBU MAUT DIPUKUL ANAK

Suspek dipercayai alami masalah mental, serang mangsa guna tombak

- Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas maut kira-kira enam jam selepas dipercayai dipukul anak lelakinya yang mengalami masalah mental di rumah mereka di Kampung Linau, di sini, malam Isnin lalu.

Mangsa dikenali sebagai Teh Jari, 57, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Kota Belud kira-kira jam 4.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superinten­dan Mohd Zaidi Abdullah (gambar) berkata kejadian berlaku apabila suspek yang juga anak mangsa bertindak menyerang mangsa di rumah mereka kira-kira jam 10.40 malam Isnin lalu.

Katanya, kejadian disedari seorang lagi anak lelakinya berumur 38 tahun yang tinggal di rumah bersebelah­an selepas terdengar teriakan meminta tolong daripada mangsa.

“Sebaik memasuki rumah mangsa, saksi melihat suspek berlari meninggalk­an rumah dan terkejut apabila menyedari mangsa yang tidak sedarkan diri di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daerah Kota Belud dengan bantuan penduduk kampung untuk mendapatka­n rawatan selanjutny­a,” katanya.

Beliau berkata mangsa bagaimanap­un disahkan meninggal dunia kira-kira enam jam selepas kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan, dada dan muka.

Zaidi berkata suspek dipercayai mengalami masalah mental dan tinggal bersama-sama dengan mangsa di rumah berkenaan.

“Siasatan awal kejadian mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di tangan, dada dan muka akibat dipukul menggunaka­n batang tombak,” katanya.

Menurutnya pihaknya kini sedang menjalanka­n operasi mengesan mangsa berumur 28 tahun dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat suspek agar menghubung­i polis dengan kadar segera.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia