Utusan Borneo (Sabah)

Pintu empat buah bank di Ipoh pecah ditembak senapang angin

-

IPOH: Pintu cermin empat buah bank di sekitar bandar raya Ipoh pecah dipercayai akibat perbuatan khianat selepas ditembak menggunaka­n senapang angin oleh individu tidak dikenali sejak awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Abdul Rani Alias berkata pihaknya menerima dua laporan di Balai Polis Daerah Kampung Rapat pada kira-kira pukul 2.25 pagi tadi selepas pintu cermin dua buah bank di Medan Gopeng di sini, pecah.

“Kita kemudianny­a menerima laporan kejadian yang sama berlaku di sebuah bank di Pusat Perniagaan Greentown dan Jalan Yang Kalsom, Pekan Baru masing-masing pada pukul 8.50 pagi dan 8.05 pagi tadi.

“Selepas diperiksa di kesemua bank berkenaan, kita mendapati cermin pada pintu masuk mesin teler automatik (ATM) telah pecah. Bagaimanap­un, semua mesin dalam keadaan baik,”katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Abdul Rani berkata hasil pemeriksaa­n di kawasan kejadian bagaimanap­un tidak menjumpai sebarang objek yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Kita telah menghubung­i pihak pengurusan bank bagi melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di setiap bank yang terlibat dan kita hanya boleh meneliti setiap video Isnin nanti,”katanya.

Abdul Rani berkata hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menggunaka­n senapang angin selepas melihat kesan cermin pecah di setiap bank.

“Mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM) bagaimanap­un tidak mempunyai tanda-tanda diusik atau cuba dipecahkan. Kita percaya motif utama kes ini merupakan perbuatan khianat,”katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia