Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki cedera parah terlibat kemalangan dengan kenderaan dikejar JPJ

-

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang sedang dikejar kereta peronda Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) di Jalan Permatang Tinggi, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu, mangsa Mohd Zahir Daud, 39, yang memandu kereta jenis Proton Saga telah melanggar hadapan kenderaan dinaiki dua lelaki yang tiba-tiba membuat pusingan U.

“Kereta jenis Proton Wira warna putih yang dinaiki dua lelaki dari arah Permatang Tinggi menghala ke Bukit Tengah, dikejar oleh sebuah kenderaan JPJ dari arah Simpang Ampat.

“Apabila tiba di Jalan Permatang Tinggi, pemandu kereta berusia 33 tahun itu secara tiba-tiba membuat pusingan U, menyebabka­n kenderaan dipandu mangsa dari arah bertentang­an tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan kereta tersebut,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata penumpang kereta Proton Wira berusia 21 tahun itu turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sama manakala pemandunya tidak cedera serta lesen memandunya tamat tempoh sejak 2015.

Katanya sebaik polis tiba di lokasi kemalangan, pemandu kereta Proton Wira itu cuba melarikan diri bagaimanap­un berjaya ditahan dan pemeriksaa­n lanjut menemukan sebuah beg mengandung­i pelbagai jenis dadah.

“Pemeriksaa­n dalam beg itu menemukan tiga paket heroin, enam paket syabu dan satu balutan kertas berisi ganja dan semua dadah itu bernilai lebih RM5,000. Polis turut merampas peralatan menghisap dadah,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang positif dadah itu dipercayai dalam perjalanan menjual bahan terlarang berkenaan kepada pembeli sebelum terserempa­k dengan kenderaan peronda JPJ dan bertindak memecut laju keretanya bagi mengelak ditahan.

Katanya lelaki yang tidak bekerja itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia