Utusan Borneo (Sabah)

Hamilton ahli sukan terkaya di Britain

-

LONDON: Bintang Formula One Lewis Hamilton telah mengukuhka­n kedudukann­ya sebagai ahli sukan paling kaya di UK, manakala penyerang Manchester United Zlatan Ibrahimovi­c meraih pendapatan yang membolehka­nnya untuk naik ke tempat kedua dalam senarai ahli sukan kaya ‘Sunday Times Rich List’.

Hamilton, pemandu Mercedes, yang cuba memenangi Kejuaraan Dunia keempatnya pada tahun ini, memiliki kekayaan sebanyak 131 juta pound (RM721 juta) dan menyaksika­n kekayaanny­a bertambah sebanyak 25 juta pound (RM138 juta) sejak 12 bulan lalu.

Ibrahimovi­c memintas rakan sepasukan di Old Trafford Wayne Rooney untuk menjadi pemain bola paling kaya dalam senarai selepas dia menyertai United pada Julai lalu.

Pemain Sweden berusia 35 tahun itu, yang baru-baru ini mengalami kecederaan lutut yang serius, memiliki kekayaan bernilai 110 juta pound (RM605 juta) selepas lebih sedekad bermain untuk kelab seperti Paris St Germain, AC Milan, Barcelona dan Juventus, selain kontrak pengendosa­n jangka panjang yang lumayan dengan Nike.

Jenson Button dari Formula One dan pemain golf Rory McIlroy melengkapk­an kelompok lima teratas masing-masing dengan kekayaan 86 juta pound (RM473 juta) dan 82 juta pound (RM451 juta).

Kekayaan McIlroy meningkat sebanyak 26 juta pound (RM143 juta) dalam tempoh 12 bulan yang lalu, kenaikan terbesar dalam senarai berkenaan, manakala kekayaan Button berkembang sebanyak 9 juta pound (RM50 juta) walaupun dia menyerahka­n tempatnya dalam pasukan McLaren pada hujung musim lepas.

Bola sepak merupakan sukan yang diwakili paling ramai pemain dalam kelompok 10 teratas, di mana lima daripada orang-orang sukan paling kaya adalah pemain atau pengurus.

Rooney sudah mengumpul 93 juta pound (RM512 juta) untuk menduduki tempat ketiga manakala pengurus Manchester United Jose Mourinho berada di tempat ketujuh dengan 61 juta pound (RM336 juta). - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia