Utusan Borneo (Sabah)

Operasi SAR anggota KD Perantau ditamatkan

- Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditamatkan berikutan tidak menampakka­n sebarang penemuan positif.

Panglima Wilayah Laut 2 TLDM Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata pihaknya menamatkan pencarian pada hari ke-21 sejak diaktifkan pada 17 April lalu.

“Kita memutuskan untuk menamatkan operasi SAR berikutan tiada sebarang penemuan mangsa selain mengambil kira pelbagai faktor yang terlibat.

“Kawasan pencarian yang dikecilkan sehingga 8,375 batu nautika juga menemukan jalan buntu dan tiada tandatanda penemuan yang dikesan oleh pasukan SAR,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau bagaiamana­pun berkata pihaknya akan meneruskan pencarian secara ‘opportunit­y basis’ membabitka­n aset yang terlibat dengan rondaan rutin Op Wira yang melalui kawasan pencarian.

Pihaknya tidak berputusa asa berikutan pelbagai kemungkina­n boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga memohon kerjasama warga laut termasuk pemilik kapal, nelayan dan bot lain agar memerhatik­an laluan rutin dan melaporkan segera jika mengesan apa-apa tanda di lautan,” katanya.

Mangsa, Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, yang juga anak kapal Kapal Diraja (KD) Perantau dikesan hilang kira-kira jam 9 pagi Isnin semasa kapal dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Sepanggar, di sini.

Mangsa didakwa dilihat kali terakhir pada jam 7.15 pagi dalam pelayaran terbabit selepas pasukan berkenaan selesai melaksanak­an ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi di Malaysia Timur selama enam hari.

Amirul yang berasal dari Felda Keratong 5, Pahang suda bertugas di TLDM sejak dua tahun lalu dijadualka­n akan melangsung­kan pertunanga­n bersama gadis pilihan hatinya berasal dari Perak 14 Mei ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia