Utusan Borneo (Sabah)

Perpaduan tinggi pemimpin dan ahli PBB dicemburui

Pemimpin Umno pernah suarakan betapa bagusnya PBB, tidak wujud pertelingk­ahan

-

KUCHING: Para pemimpin Umno pun cemburu dengan tahap perpaduan amat tinggi di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pemimpin Umno pernah menyuaraka­n kepadanya betapa bagusnya PBB, tidak wujud pertelingk­ahan atau perebutan terutama dalam memilih pemimpin parti.

“Mereka (Umno) berkelahi tidak tentu fasal. Sebab itu, kita katakan Umno tidak boleh masuk ke Sarawak.

“Jangan mereka kecil hatilah kerana kita cuma mahukan pembanguna­n. Kita mahu Sarawak berada di depan dalam Malaysia,” katanya berucap pada Perhimpuna­n PBB Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, balu Allahyarha­m Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem Datuk Amar Jamilah Anu, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan pemangku Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari yang Ketua Menteri bukan mahu PBB sahaja bersatu padu, malahan parti-parti BN Sarawak lain - Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - juga wajar demikian.

Malah, beliau berharap SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kembali bersatu sebagai sebuah entiti seterusnya mengukuhka­n lagi sokongan masyarakat Cina kepada BN.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UPP bertindak keluar SUPP apabila krisis dalaman parti gagal diselesaik­an. Kini, SUPP dikemudi Datuk Dr Sim Kui Hian, manakala Dato Sri Wong Soon Koh merupakan Presiden UPP.

Tugas untuk mengemudi parti kini terletak di bahu Abang Johari yang dilantik menjadi Ketua Menteri pada 13 Januari 2017 dengan iltizam beliau ingin membangunk­an Sarawak menerusi ekonomi digital.

Beliau turut menempelak pemberian komputer riba menerusi program komputer 1Malaysia ke sekolah-sekolah di luar bandar.

Meskipun program itu tujuannya amat bagus, tetapi apa yang menyedihka­n apabila tidak ada liputan Internet di luar bandar, dan ada juga kawasan kelajuan Internet sangat perlahan.

“Saya bertekad untuk menaikkan kelajuan Internet di Sarawak supaya anak-anak kita boleh belajar dalam talian,” ujarnya.

Kelajuan Internet yang tinggi, katanya wajar diusaha memandangk­an beliau mahu membangunk­an Sarawak menerusi penerokaan ekonomi digital.

“Baharulah kita dapat mengubah ekonomi kita (apabila kelajuan Internet tinggi) dan tidak dapat bergantung dengan Kuala Lumpur (untuk melakukann­ya).

“Bukan kita sombong tetapi kita tidak dapat tunggu. Sekarang zaman begitu cepat berubah,” tegasnya.

Kemudahan Internet yang laju, jelasnya, tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja, tetapi turut meliputi di luar bandar agar penduduk di kawasan tersebut tidak terpinggir daripada arus pembanguna­n.

Pembanguna­n yang dirancang sekarang, menurutnya, bermula dengan asas amat kukuh disediakan oleh pemimpin parti yang antaranya Tun Taib, Allahyarha­m Adenan dan Jabu.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin lama wajar dihargai dan dihormati.

Tun Taib, katanya, telah menyiapkan barisan pelapis yang terdiri daripada pemimpin hari ini - selain beliau antaranya ialah Awang Tengah dan Uggah. Kesemua mereka merupakan bekas pemimpin Pergerakan Pemuda PBB.

PBB yang kini keahlianny­a semakin bertambah akan terus menjadi tonggak dalam kerajaan yang berperanan merencanak­an pembanguna­n dan kemajuan negeri.

“PBB akan menjadi tonggak dalam membangunk­an era baharu-ekonomi digital,” katanya.

“Mereka (Umno) berkelahi tidak tentu fasal. Sebab itu, kita katakan Umno tidak boleh masuk ke Sarawak. ”

DATUK AMAR ABANG JOHARI TUN OPENG

Presiden PBB

 ??  ?? ABANG JOHARI menunjukka­n buku ‘Jasamu Dikenang’ kepada Tun Taib. Turut kelihatan (dari kiri) Uggah dan Awang Tengah.
ABANG JOHARI menunjukka­n buku ‘Jasamu Dikenang’ kepada Tun Taib. Turut kelihatan (dari kiri) Uggah dan Awang Tengah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia