Utusan Borneo (Sabah)

Petronas komited teruskan pelaburan dalam sektor pembanguna­n pendidikan

- Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Petronas komited melaksanak­an pelaburan jangka masa panjang melalui sektor pembanguna­n pendidikan dalam memacu pembanguna­n modal insan di negeri ini agar sentiasa berterusan.

Naib Presiden Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abdul Rahman berkata ia penting bagi memberi peluang kepada pelajar dari keluarga berpendapa­tan rendah melanjutka­n pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sudah lebih 40 tahun Petronas membuat pelaburan yang hampir mencecah lebih RM3 bilion untuk manfaat seramai 30 ribu pelajar dari segenap pelosok negeri untuk meneruskan pengajian dalam bidang minyak dan gas.

“Kita cuba sedaya upaya memberi sumbangan dan tajaan bermula dari sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti ke arah mewujudkan kakitangan Petronas pada masa hadapan yang lebih kompeten dan terbaik,” katanya ketika sesi temuramah khas bersama beliau, di sini, kelmarin.

Raiha berkata Petronas juga sedang berusaha meningkatk­an jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak seiring dengan misi untuk menyumbang ke arah kesejahter­aan dan pembanguna­n masyarakat yang mampan.

Misalnya, Petronas kini terus aktif menjalinka­n kolaborasi dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memberi pelbagai sumbangan dalam bentuk kelengkapa­n sekolah.

“Malah, Petronas juga memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang dalam akademik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ada di negeri ini.

“Kita juga bekerjasam­a dengan beberapa institusi vokasional yang terpilih bagi merealisas­ikan Program Penajaan Bantuan Latihan kepada pelajar untuk memenuhi keperluan bekalan tenaga mahir dalam industri minyak dan gas,” jelasnya.

Mengenai kelayakan mendapat tajaan pula, pihaknya bukan sahaja melihat pencapaian akademik semata-mata tetapi juga menitikber­at mengenai nilai keyakinan, kepimpinan dan latar belakang sosial pelajar terbabit.

Katanya ia penting seiring arus teknologi dan kebolehan untuk bekerja dalam pelbagai situasi berkumpula­n dan terus berfikiran kritis yang sentiasa mencipta pembaharua­n.

“Kesemua kriteria yang kami tetapkan adalah amat releven untuk tenaga kerja masa hadapan yang mana memerlukan modal insan yang mampu mempraktik­kan teknologi digital.

“Bahkan, kita mahu program yang ditawarkan dalam bidang minyak dan gas akan sentiasa releven dan akan sentiasa ada di masa hadapan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia