Utusan Borneo (Sabah)

Kereta rempuh orang ramai di Amsterdam

-

THE HAGUE: Sebuah kereta merempuh orang ramai di luar stesen pusat Amsterdam lewat kelmarin, dan mencederak­an lapan orang, dua daripadany­a serius, kata polis Belanda, yang menambah ia dipercayai satu kemalangan.

“Suspek sudah disoal siasat, dan ia dipercayai tidak disengajak­an. Tetapi kami sedang menyiasat lanjut,” kata polis Amsterdam dalam akaun Twitter mereka.

“Lapan cedera, dua daripada mereka serius,” kata polis dalam Twitter, menambah pemandu terbabit sudah ditahan selepas keretanya melanggar orang ramai lalu merempuh tembok.

Berita itu diterima seminggu selepas tiga penyerang dalam sebuah van melanggar pejalan kaki di London sebelum melakukan serangan tikaman, membunuh lapan orang dan mencederak­an 48 lagi.

Media Belanda melaporkan insiden di Amsterdam berlaku apabila polis menghampir­i sebuah kereta Peugeot hitam yang diletak tanpa elok, dan pemandu cuba memecut lari.

Beberapa ambulans dan anggota polis dengan cepat berada di tempat kejadian di lebuh sibuk di luar stesen di tengah ibu kota Belanda yang ditelusuri terusan. Dua orang dibawa ke hospital. Mangsa lain yang cedera menerima rawatan di tempat kejadian.

Belanda berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran beberapa serangan di sekitar Eropah sejak beberapa bulan lalu, termasuk serangan bom nekad di Manchester pada bulan lepas dan dua serangan baru-baru ini di London.

Dalam tanda keregangan yang semakin meruncing, seorang lelaki Belanda turut ditangkap lewat Jumaat lepas setelah dia didapati membuat penggambar­an di luar salah sebuah stadium terbesar di negara itu sewaktu satu konsert, kata polis.

Lelaki berusia 29 tahun dari Amsterdam itu ditangkap di luar Stadium Philips di selatan Eindhoven di mana penyanyi pop Belanda Guus Meeuwis sedang membuat persembaha­n.

Polis berkata lelaki itu diketahui berkemungk­inan sudah dijadikan radikal, dan berkata keputusan diambil untuk menangkapn­ya kerana dia “membuat penggambar­an dan tidak ada penjelasan yang munasabah bagi apa yang dia buat”.

Dia ditahan bagi malam kedua kelmarin, kata polis, tetapi Meeuwis meneruskan konsertnya mengikut rancangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia