Utusan Borneo (Sabah)

Primeworks anjur Kem Remaja Bersamamu

-

JABATAN Faktual, Primeworks Studio Sdn Bhd, sekali lagi menganjurk­an Kem Remaja Bersamamu bermula 31 Mei hingga 3 Jun 2017. Program kokurikulu­m holistik ini dianjurkan khas buat 45 orang remaja daripada keluarga yang pernah disiarkan dalam rancangan amal, Bersamamu di TV3.

Sebuah majlis pelancaran dan berbuka puasa telah diadakan baru-baru ini di Dewan Tun Razak, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kajang setelah menyambut ketibaan kesemua 45 orang remaja Bersamamu.

Wartawan Bersamamu, Teh Syuhaida Sharip telah mengacarak­an majlis pelancaran itu dengan sangat santai dan penuh semangat. Majlis pelancaran itu telah dihadiri oleh Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA), Dato Rubiyah Abdul Rahman serta wakil para penaja Kem Remaja Bersamamu, antaranya ialah Pengasas Faiza Marketing Sdn Bhd, Hajjah Faiza Bawumi Sayed Ahmad, Ketua Pegawai Operasi eRYA by Suria, Suria Resorts Management Sdn Bhd, Nor Dalina Khalil, dan Kumpulan Pengarah Jualan dan Pemasaran Sama-sama Hotels, Rohana Ibrahim.

Turut menghadiri majlis pelancaran itu adalah Ketua Penerbitan, Jabatan Faktual Primeworks Studio, Noraini Mat Tahir yang juga merupakan bekas Penerbit Eksekutif Bersamamu 2005.

Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Penasihat Kem Remaja Bersamamu, Mazlin Nordin, “Kem Remaja Bersamamu ini merupakan satu inisiatif untuk membantu anak-anak Bersamamu yang saya anggap seperti anak sendiri selain daripada untuk mengukuhka­n ukhuwah kami dan membuktika­n kepada mereka ini bahawa mereka tidak bersendiri­an di bumi ini. Banyak pihak di luar sana yang sebenarnya amat prihatin kepada mereka, yang sayang kepada mereka, dan ingin membantu mereka untuk berdiri dengan penuh keyakinan seperti anak-anak lain.”

“Mereka ini sebenarnya bukannya golongan kurang bernasib baik, malah mereka amat beruntung kerana ramai yang menyayangi mereka dan prihatin terhadap kehidupan mereka. Justeru, kem ini masih wujud dan In Sya Allah akan tetap ada demi memahat keyakinan diri, jati diri, dan keberanian di dalam diri mereka.

“Tambahan pula, kami amat terharu dan berterima kasih kepada para penaja yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga Bersamamu. Alhamdulil­lah kerana segala bantuan yang dihulurkan bukanlah untuk kami, tetapi ia adalah rezeki buat mereka (keluarga Bersamamu),” ujarnya lagi

Rancangan Bersamamu ini telah ke udara lebih 12 tahun sebagai rancangan realiti amal nombor satu negara dengan julat rating sebanyak 1.5 juta penonton setiap episod. Menemui para penonton setia TV3, Bersamamu kini disiarkan pada setiap hari Selasa jam 9.30 malam.

Pada tahun ini, berkat daripada sumbangan pihakpihak yang prihatin ke akaun Maybank Tabung Kemanusiaa­n MPB-NSTP (5141-0532-3170), Bersamamu sekali lagi menganjurk­an Kem Remaja Bersamamu yang ketujuh dan membabitka­n remaja-remaja Bersamamu berusia dalam lingkungan 11 hingga 17 tahun.

Selain menerapkan objektif untuk menyumbang secara berterusan kepada anak-anak Bersamamu ini, kem ini turut dianjurkan bagi menerapkan nilai sahsiah, rohani, dan jati diri buat anak-anak remaja yang terpilih.

Untuk penganjura­n kali ini, Kem Remaja Bersamamu membawa sedikit pendekatan berbeza iaitu buat julung kalinya, kem ini berlangsun­g pada bulan yang penuh keberkatan, Ramadan Al Mubarak.

Selain itu, secara lazimnya, penyertaan kem ini terdiri daripada peserta dari semenanjun­g Malaysia sahaja. Namun buat pertama kalinya, dua anak Bersamamu dari Sabah turut terpilih.

Memandangk­an kem kali ini dianjurkan pada bulan Ramadan, pelbagai aktiviti telah disediakan bertepatan dengan bulan puasa ini, antaranya termasukla­h ceramah pemantapan rohani dan kekeluarga­an, kem pembinaan keyakinan diri, solat terawih, qiamullail, dan membeli belah barang keperluan Aidilfitri.

Para peserta kem ini dipilih daripada pelbagai latar belakang, ada di antara mereka adalah anak yatim, orang kurang upaya dalam kategori cacat anggota badan dan masalah pendengara­n.

Para peminat setia rancangan Bersamamu, berpeluang untuk saksikan Kem Remaja Bersamamu 2017 ini pada hari Selasa, 4 Julai 2017, dan 11 Julai 2017, jam 9.30 malam. Hulurkan Tangan, Ringankan Beban.

 ??  ??
 ??  ?? PESERTA-peserta Kem Remaja Bersamamu 2017.
PESERTA-peserta Kem Remaja Bersamamu 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia